SEPANG, 30 November 2025 – AirAsia Aviation Group memaklumkan bahawa operasi penerbangannya kini kembali pulih sepenuhnya selepas syarikat itu berjaya menyelesaikan keperluan mandatori yang ditetapkan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dalam tempoh 24 jam.
Langkah pematuhan itu melibatkan proses pemulihan semula perisian (software rollback) pada pesawat jenis Airbus A320, selaras dengan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan yang dikeluarkan oleh EASA susulan notis daripada pihak Airbus.
Arahan kecemasan tersebut diterima pihak AirAsia sekitar jam 3.00 pagi pada 29 November lalu (waktu tempatan), yang membawa kepada pengaktifan serta-merta Pelan Kesinambungan Perniagaan syarikat. Proses penyelesaian arahan ini menuntut koordinasi rapi merentasi jabatan Kejuruteraan, Operasi Penerbangan, Rangkaian, Operasi Darat dan Pengalaman Pelanggan di Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Kemboja.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam menegaskan bahawa aspek keselamatan adalah teras utama kepercayaan pelanggan terhadap syarikat penerbangan itu.
“Pasukan kami di seluruh rantau digerakkan serta-merta untuk memenuhi semua keperluan kejuruteraan, operasi, keselamatan dan pengalaman pelanggan, supaya tetamu mengalami kesulitan yang minimum.
“Hasil perancangan teliti dan koordinasi kukuh seluruh kumpulan daripada pasukan kejuruteraan kami, dengan sokongan rakan ekosistem Asia Digital Engineering (ADE), kerja pematuhan pesawat telah diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Tambah Bo Lingam, pasukan operasi kini sedang giat berusaha untuk meminimumkan sebarang gangguan yang masih berbaki. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kakitangan AirAsia (Allstars), pihak kawal selia, dan rakan lapangan terbang atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan langkah keselamatan kritikal ini.
Susulan perkembangan ini, para tetamu dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka melalui aplikasi AirAsia MOVE atau melayari laman web rasmi airasia.com/flightstatus .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































