PETALING JAYA, 4 Februari 2026 – Pengguna CelcomDigi bakal menikmati pengalaman pendaftaran aplikasi yang lebih pantas dan selamat apabila syarikat telekomunikasi itu hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Google Firebase dan Telenor Linx.
Melalui inisiatif ini, CelcomDigi menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan pengesahan nombor telefon berasaskan rangkaian di platform Google Firebase.
Teknologi ini membolehkan pengesahan identiti dilakukan secara ‘satu sentuhan’ (one-tap), sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada Kata Laluan Sekali Guna (OTP) melalui SMS yang sering menjadi sasaran penipuan.
Menurut CelcomDigi, pengguna tidak lagi perlu menunggu kod SMS atau bimbang tentang mesej palsu ketika mendaftar untuk perkhidmatan perbankan, e-dagang, atau e-hailing.
“Pengesahan berlaku secara selamat di latar belakang melalui sambungan yang dipercayai antara aplikasi dan rangkaian mudah alih. Ini mengurangkan gangguan serta risiko penipuan seperti phishing, serangan berasaskan SIM, dan trafik tiruan,” jelas kenyataan tersebut.
Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T. Kugan berkata, inisiatif API-as-a-Service (APIaaS) ini membolehkan pembangun aplikasi mengintegrasikan sistem keselamatan gred telekomunikasi dengan mudah.
“Kami menggunakan kepintaran rangkaian untuk menambah baik pengalaman pengguna. Ini menjadikan pendaftaran digital lebih ringkas, selamat dan boleh dipercayai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Produk Pengesahan Nombor Telefon Google Firebase, Micah Baker menyifatkan kerjasama ini membantu pembangun membina aliran pengesahan yang lebih pantas tanpa mengorbankan aspek keselamatan.
Bagi pihak Telenor Linx, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stig Atle Waagbø berkata pelanggan CelcomDigi adalah pemenang sebenar dalam kerjasama ini.
“Dengan Pengesahan Nombor Telefon Firebase, kami mengurangkan kerumitan dan penipuan dengan menggabungkan kepintaran rangkaian telekomunikasi bersama API yang elegan,” ujarnya.
Langkah ini juga selaras dengan usaha CelcomDigi memperluas ekosistem API mereka bersama rakan serantau seperti Aduna, Bridge Alliance dan PayNet bagi menyokong ekonomi digital negara yang lebih selamat.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































