KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer versatil, Tomok, membuka tirai kalendar seni 2026 dengan melancarkan single terbaharu berjudul “Buah Hati” pada 30 Januari lalu, sebuah karya bertemakan kekeluargaan yang turut menampilkan penglibatan istimewa para peminat dalam video muzik rasminya.
Lagu yang kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama ini diterbitkan oleh Popsicle Records dan diedarkan di bawah label Luncai Emas. “Buah Hati” merupakan hasil ciptaan bersama Tomok dan Barr Hadif, manakala lirik puitisnya mendapat sentuhan penulis lirik prolifik, Fedtri Yahya.
Tomok yang sebelum ini pernah muncul dengan beberapa lagu hit termasuk kolaborasi beraama Siti Nordiana menerusi lagu “Memori Mungkin Berulang” dan “Gelora Jiwa Meronta Asmara”. Bagi karya solo kali ini, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan, memilih untuk mengangkat mesej kasih sayang ibu bapa yang tulus dan tanpa syarat—merangkumi pengorbanan serta doa agar anak-anak membesar menjadi insan yang kuat dan bahagia.
Mengulas mengenai pelancaran tersebut, Tomok menyifatkan lagu ini sebagai satu permulaan yang positif bagi dirinya tahun ini.
“Alhamdulillah, ini permulaan yang baik untuk tahun 2026. ‘Buah Hati’ adalah sebuah lagu yang sangat dekat di hati saya dan diciptakan khas buat keluarga serta mereka yang saya sayangi,” kata Tomok.
Beliau turut memuji sentuhan penulis lirik yang berjaya menghidupkan jiwa lagu tersebut.
“Sentuhan lirik oleh Fedtri Yahya menjadikan gabungan melodi dan mesej lagu ini sesuatu yang sangat istimewa. Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh semua peminat,” tambahnya.
Mengambil pendekatan yang unik untuk mendekati penyokong setianya, Tomok mendedikasikan video lirik rasmi “Buah Hati” sebagai medium penghargaan. Video tersebut memaparkan koleksi foto peribadi yang dihantar sendiri oleh peminat bersama insan tersayang mereka, satu simbolik kepada ikatan emosi yang terjalin antara beliau dan peminat sejak memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun bersama kumpulan New Boyz pada tahun 1999.
Selain aktif menyanyi, juara program realiti One In A Million ini turut mengukuhkan portfolionya sebagai usahawan seni. Melalui syarikatnya, Popsicle Records yang ditubuhkan pada 2018, beliau telah menganjurkan pelbagai konsert sepanjang 2023 dan 2024, serta pernah menyumbangkan karya untuk album legenda tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Video lirik rasmi “Buah Hati” kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Popsicle Records.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































