NILAI, 21 Ogos 2023 — Graduan politeknik mendominasi pasaran pekerjaan, dengan graduan dari Politeknik Nilai (PNS) menonjol sebagai yang paling diminati.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, yakin dan percaya bahawa mahasiswa hadir di PNS akan berjaya menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.
Beliau memberikan ucapan ini semasa mengunjungi PNS untuk meninjau proses pendaftaran pelajar baru bagi sesi terbaru.
Dalam ucapannya, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail memberi nasihat kepada pelajar untuk berusaha sungguh-sungguh dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 dan ke atas. Ini akan memberi mereka peluang untuk melanjutkan pengajian ke Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Kebiasaannya, 40 peratus pelajar kita akan melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi, sementara 60 peratus lagi akan memasuki pasaran pekerjaan,” jelasnya.
YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail turut menyatakan bahawa Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan bekerjasama dengan MTUN dan universiti lain untuk memberi lebih banyak peluang kepada pelajar dan graduan POLYCC.
PNS telah menerima jumlah pelajar sebanyak 548 orang untuk Sesi I 2023/2024, yang akan mengikuti pengajian dalam program diploma. Turut hadir dalam acara ini adalah YBrs. Ts. Zainab Othman, Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK, YBrs. Tuan Haji Azirin bin Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK, serta YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly bin Wan Zakaria, Pengarah PNS.