KUALA LUMPUR, 18 Sep 2025 — Camp5 telah menganjurkan Media Climbing Day di fasiliti KL East bagi memperkenalkan acara CRANK Lead 2025 kepada wakil media, selain mempertemukan mereka dengan atlet panjat tembok negara yang sedang membuat persiapan ke Sukan SEA di Thailand pada Disember ini.
Wakil media diberi peluang merasai pengalaman memanjat bersama atlet kebangsaan selain menyertai pertandingan satu pertandingan khas media. Peserta dengan markah tertinggi menerima kemasukan wildcard ke CRANK Lead 2025 yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Oktober depan.
Antara pemenang termasuk Tan Eu Vin dari The Grid Asia (kategori Rookie lelaki), Muhammad Harrith Noor Hisham dari Kosmo (kategori Intermediate lelaki) dan Chiam Kai Li dari The Grid Asia (kategori Rookie wanita).
Sesi regangan selepas acara dipimpin oleh atlet kebangsaan, Renee Tan, yang bakal mewakili Malaysia dalam acara boulder di Sukan SEA. Renee mula serius dalam sukan ini pada 2021 dan sudah beraksi di Piala Dunia IFSC di Keqiao, China pada 2024 dan 2025.

Turut menjadi tumpuan ialah Taqiuddin Zulkifli, Ketua Penyusun Laluan Camp5 yang juga bekas atlet kebangsaan. Beliau yang pernah meraih tempat kelima di Kejohanan Remaja Asia 2013 akan bertugas sebagai penyusun laluan pada Sukan SEA nanti.
Acara ini turut menampilkan adik-beradik Wong; Eugene (17), Euson (16), dan Eunice (14); yang semakin dikenali sebagai bintang baharu panjat tebing Malaysia. Eunice dan Euson baru-baru ini telah menyertai Kejohanan Panjat Tembok ASEAN di Putrajaya, manakala Eunice bakal mewakili Malaysia di Kejohanan Asia K di Pune, India pada November ini.
CRANK Lead 2025 dijangka menjadi pertandingan panjat lead terbesar di Asia Tenggara, menggunakan format seperti Kejohanan Dunia IFSC. Ia bakal menarik penyertaan atlet elit rantau ini serta menjadi medan penting persiapan menjelang Sukan SEA.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































