KUALA LUMPUR, 11 September 2023 — Komited untuk terus mempamerkan tawarantawaran menarik yang disediakan oleh industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia, Pusat Pelancongan Islam (ITC) – sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) dari 12 hingga 15 September (Nombor Reruai 11320, Aras 3, Dewan 11, Dewan Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Rakan strategik ITC yang bakal menyertai pameran antarabangsa ini ialah Aora Spa and Wellness Jitra, Primula Beach Hotel Kuala Terengganu, Permai Hotel Kuala Terengganu dan Klana Beach Resort Port Dickson.
ITC berharap penyertaan agensi ini akan mengumpulkan para profesional, pegawai kerajaan, dan pemain utama industri dari seluruh dunia untuk meneroka pelbagai tawaran industri pelancongan Malaysia yang pelbagai dan berpotensi memenuhi permintaan semua pelancong, tempatan mahupun luar negara.
ITC juga akan menganjurkan satu sesi rangkaian perniagaan eksklusif – Let’s Sembang Together on MFAR@MIHAS pada 13 September di Sudut MIHAS, Aras 1, Dewan 2, MITEC dari jam 10 pagi hingga 1 petang. Para pengunjung ke MIHAS dialu-alukan untuk menyertai program anjuran ITC ini untuk mengetahui potensi pasaran pelancong Muslim dan mendapat informasi lebih lanjut tentang program Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim ITC serta Pengiktirafan (MFAR) daripada Fitra Mohd. Ali, Pengurus Pembangunan Industri ITC.
Penolong Pengarah Hubungan Industi, Jabatan Pengurusan Halal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Ustaz Norakmal Mohamad juga akan turut hadir di sesi rangkaian perniagaan dan berkongsi tentang pensijilan Halal.
Berhubung penyertaan agensi dalam MIHAS 2023, Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin berkata “Kami sangat teruja untuk berkongsi pelbagai tawaran yang Malaysia sediakan untuk pelancong Muslim ke negara ini”.
“Komitmen kami terhadap inklusiviti dan menyediakan pengalaman luar biasa kepada semua pengunjung, dan kami sangat bersemangat untuk menyambut pelancong Muslim dari seluruh dunia untuk meneroka keindahan dan budaya di Malaysia,” kata Nizran.
Dalam suasana meraikan keistimewaan warisan seni bina Malaysia di sepanjang Bulan Pelancongan Islam 2023 (BPI 2023) yang baru dilancarkan, keterlibatan ITC dalam MIHAS 2023 bertujuan menonjolkan pelbagai produk dan perkhidmatan mesra Muslim Malaysia, memupuk kerjasama di kalangan pemegang kepentingan utama industri, dan mengukuhkan perkongsian strategik di kalangan pemain ekosistem pelancongan Islam melalui acara yang berlangsung selama sebulan ini.
Selain promosi khas untuk penginapan, pakej perjalanan, pengalaman spa dan kesejahteraan, makanan dan minuman, tawaran beli-belah dan runcit, serta acara, seminar, dan pameran, BPI 2023 juga diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi QR untuk memberikan akses mudah dan segera kepada tawaran eksklusif oleh rakan-rakan ITC sepanjang bulan tersebut.
Terdapat juga Cabaran TikTok yang boleh disertai oleh orang ramai untuk memenangi hadiah istimewa yang ditaja oleh pelbagai rakan industri. Di antara hadiah utama adalah 30 kad prabayar yang dimuatkan dengan RM1,000 masing-masing oleh Mastercard.”