Kesihatan lelaki sering kali menjadi topik yang sepi daripada perbincangan terbuka. Berbeza dengan wanita yang lebih proaktif menjalani saringan awal, golongan lelaki kerap dibayangi stigma bahawa membincangkan masalah tubuh adalah satu tanda kelemahan.

Sikap sambil lewa dan malu ini akhirnya membawa padah apabila kanser prostat kukuh menduduki tangga ketiga paling kerap menyerang lelaki di Malaysia, selepas kanser kolorektal dan kanser paru-paru.
Berdasarkan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCRR) 2017–2021 , kanser prostat menyumbang sebanyak 8.3 peratus daripada keseluruhan kes kanser lelaki di negara ini.
Mitos gejala penuaan
Menerusi satu temu bual yang dimuat naik di saluran YouTube , Pakar Perunding Kanan Urologi Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Shanggar Kuppusamy, menjelaskan bahawa pembesaran prostat berlaku secara semula jadi seiring pertambahan usia akibat perubahan hormon testosteron serta mutasi selular selama puluhan tahun.
Namun, cabaran utama penyakit ini terletak pada sifatnya yang bertindak secara senyap pada peringkat awal tanpa sebarang gejala yang jelas.
“Kanser prostat pada peringkat awal tidak menunjukkan gejala yang jelas dan sukar dikesan.
“Tetapi jika ia mula aktif dan berkembang ke peringkat lanjut, ia boleh merebak dengan cepat dan sukar dikawal,” katanya.
Bila simptom mula muncul?
Pakar Bedah Am Hospital Islam Az Zahrah, Dr. Mohamad Salleh Abdul Aziz, menjelaskan bahawa kelenjar prostat berfungsi mengawal laluan air kencing di pangkal pundi.
Masalah mula timbul apabila tumor membesar dan mula menghimpit saluran pundi kencing atau merebak ke organ lain.
Lebih membimbangkan, data MNCRR 2017–2021 menunjukkan bahawa 63.3 peratus kes kanser prostat di Malaysia hanya dikesan apabila sudah berada pada peringkat lewat, iaitu Tahap 3 dan Tahap 4.
“Ramai yang tidak ambil endah pada tanda-tanda awal ini, menyebabkan kelenjar prostat semakin bengkak dan menjejaskan fungsi pundi kencing.
“Menganggap masalah kencing tersumbat hanya sebagai gejala penuaan biasa adalah tanggapan yang silap. Apabila ia merebak ke bahagian tulang, pesakit boleh mengalami patah tulang, lumpuh, atau kegagalan buah pinggang. Pesanan saya, rawat sebelum terlambat,” jelasnya.
Antara perubahan corak pembuangan air kencing yang perlu dipantau termasuklah aliran kencing yang lemah, kerap bangun kencing pada waktu malam, kencing tidak lawas, kesukaran menahan kencing, kehadiran darah dalam air kencing atau air mani, atau masalah ketegangan zakar yang berlaku secara tiba-tiba.
Faktor risiko selain usia
Selain faktor umur yang semakin meningkat, risiko serangan kanser prostat turut dipengaruhi oleh sejarah keluarga, corak pemakanan, fizikal badan dan latar belakang etnik.
Menerusi satu sesi temubual dalam program DekatMed , Pakar Urologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Praveen Singam Satkuna Singam, menjelaskan bahawa kecenderungan genetik memainkan peranan penting, terutamanya jika terdapat ahli keluarga terdekat yang pernah menghidap kanser.
“Kanser prostat ini ada perkaitan dengan keturunan ataupun sejarah keluarga. Kalau ada bapa atau adik-beradik lelaki yang menghidap kanser prostat, risiko seseorang itu untuk mendapat kanser prostat adalah lebih tinggi.
“Dan bukan sahaja kanser prostat; kalau ada ahli keluarga perempuan yang mempunyai sejarah kanser payudara atau kanser ovari, ia juga boleh berkaitan kerana ada mutasi genetik seperti gen BRCA,” katanya.
Selain faktor keturunan, beliau mengulas lanjut mengenai amalan gaya hidup dan pemakanan seharian yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan prostat.
“Pemakanan dan gaya hidup memainkan peranan. Makanan yang tinggi lemak tepu, daging merah, dan kurang serat atau sayur-sayuran boleh meningkatkan risiko,” katanya lagi.
Bila perlu mula saringan?
Memandangkan tiada program saringan kebangsaan secara automatik, kesedaran kendiri adalah benteng pertahanan utama.
Lelaki disarankan bermula seawal usia 50 tahun, atau 45 tahun bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga, untuk menjalani ujian berkala.
Menurut Dr. Mohamad Salleh Abdul Aziz, saringan awal biasanya melibatkan ujian darah Prostate-Specific Antigen (PSA) bagi mengukur paras protein yang dihasilkan oleh prostat, serta pemeriksaan rektum digital (Digital Rectal Examination – DRE) melalui dubur untuk mengesan sebarang kekerasan atau keabnormalan pada kelenjar prostat.
Sementara itu, Dr. Shanggar Kuppusamy berkata, sekiranya dikesan pada peringkat awal, rawatan seperti pembedahan prostatektomi mahupun radioterapi mampu memberikan kadar kesembuhan penuh.
Justeru, golongan lelaki yang mengalami tanda-tanda awal disarankan supaya segera mendapatkan pemeriksaan di klinik berdekatan dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius atau berlaku komplikasi yang sukar dipulihkan.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































