KUALA LUMPUR – Kolektif muzik Kuala Lumpur Ska Syndicate kini mengorak langkah lebih proaktif dalam memperjuangkan irama ska tempatan apabila melancarkan siri jelajah lima lokasi di seluruh Malaysia dari 9 Ogos hingga 17 Oktober 2026, sebelum dijadualkan kembali ke studio rakaman untuk menghasilkan single terbaharu.
Secara kronologi, kolektif yang diasaskan oleh GuaPunya Muzik pada tahun 2024 ini mula merakam demo pra-produksi menerusi album kompilasi “Jika Kita Ada Ska!” pada Oktober 2025.
Perjalanan mereka diteruskan pada Ramadan 2026 dengan projek khas “The Raya Syndicate” yang melahirkan lagu Aidilfitri hit, “Kita Di Aidilfitri”, melalui kolaborasi bersama penyanyi Leaism yang berjaya menembusi stesen radio di Malaysia dan Singapura.
Kini, memasuki suku ketiga tahun 2026, Kuala Lumpur Ska Syndicate beralih ke fasa persembahan pentas secara langsung berskala besar.
Dengan sokongan MyCreative Ventures di bawah program DKK 2025, kolektif ini sedang rancak menjayakan “Jelajah Lima Lokasi” yang meliputi persembahan di BEKL, Cheras (9 Ogos); Pop-up Stage DeStage @ Jaya One, Petaling Jaya (27 Ogos); MBG Music Fest Vol. 4 di Tanjung City Marina, Pulau Pinang (5 September); Kinarut Soundscape di Sabah (6 September); dan bakal berakhir di Ska Picnic, Damai Escape Park, Sarawak pada 17 Oktober ini.
Selain siri jelajah tersebut, mereka turut dijadualkan menggegarkan pentas Atas Angin Ska Fest 2026 di ibu kota pada 10 Oktober 2026.
Merancakkan lagi jadual persembahan sepanjang jelajah ini, Kuala Lumpur Ska Syndicate kali ini dibarisi Shah Hafiz (dram), Nano (papan kekunci), Alip (gitar), Arab (gitar), GFath (bes), Raziq (vokal/saksofon), dan Izgastro (trompet/vokal).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, wakil pengurusan GuaPunya Muzik menegaskan komitmen mereka untuk terus membawa irama ska ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selepas melengkapkan siri persembahan dan gig ini, Kuala Lumpur Ska Syndicate akan kembali ke studio rakaman untuk menghasilkan sebuah single yang mengandungi dua buah lagu. Projek ini merupakan usaha bersama antara GuaPunya Muzik dan Life Records Malaysia Sdn. Bhd.
“Perjalanan Kuala Lumpur Ska Syndicate akan diteruskan dengan karya baharu serta usaha berterusan untuk memperluaskan jaringan muzik ska dari Kuala Lumpur ke seluruh Malaysia dan ke persada dunia,” jelasnya dalam kenyataan media tersebut.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































