KUALA LUMPUR, 18 Julai 2022 — Bilangan kes baharu COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-28 (ME 28/2022) dari 10 hingga 16 Julai meningkat sebanyak 23.4 peratus kepada 26,355 kes berbanding 21,355 kes pada ME 27/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kes tempatan COVID-19 pada ME ke-28 meningkat sebanyak 23.4 peratus kepada 26,317 kes daripada 21,325 kes pada minggu sebelumnya manakala kes import naik 26.6 peratus kepada 38 kes daripada 30 kes pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, kata Dr. Noor Hisham bilangan kes sembuh pada ME 28/2022 meningkat sebanyak 16.8 peratus kepada 19,138 kes daripada 16,379 kes pada ME 27/2022.
Beliau berkata bilangan kes kematian pada ME 28/2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus kepada 39 kes daripada 38 kes pada ME 27/2022. Sementara itu, purata kes aktif setiap hari bagi ME 28/2022 adalah 38,110 iaitu peningkatan sebanyak 18.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurut Dr. Noor Hisham, secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan seperti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak sembilan peratus pada ME 28/2022 berbanding ME 27/2022.
Katanya, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 33 peratus, dengan pesakit kategori satu dan dua meningkat 33 peratus. Pesakit dari kategori tiga, empat dan lima turut mencatatkan peningkatan sama iaitu 33 peratus.
Menurut Dr Noor Hisham, peratusan pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 28/2022 bagi katil bukan kritikal meningkat sebanyak dua peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak tiga peratus; dan tiada perubahan pada katil PKRC.
Beliau juga berkata trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya) pada akhir ME 28/2022 meningkat 33.8 peratus kepada 71,326 kes berbanding 53,306 kes pada akhir ME 27/2022.
Dr. Noor Hisham menambah: “Dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 16 Julai 2022 (ME 28/2022), kumulatif kes baharu COVID-19 di seluruh negara adalah 4,619,045 manakala kumulatif kes sembuh adalah sebanyak 4,540,717. Kumulatif kes kematian pula adalah 35,848 manakala kumulatif kluster adalah 7,026 dengan 12 kluster aktif. — Akses Malaysia
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.