DUBAI, 23 September 2026 – Malaysia menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan sektor pelancongan dan penerbangan dengan Emiratus Arab Bersatu (UAE) serta rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menerusi siri perbincangan strategik sewaktu lawatan kerja rasmi di sini.
Lawatan yang berlangsung dari 13 hingga 17 September 2026 itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa, bagi mengurangkan impak situasi serantau di Timur Tengah yang menjejaskan sektor penerbangan dan pelancongan.
Kemuncak lawatan berkenaan menyaksikan penyempurnaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Malaysia dengan dua syarikat penerbangan antarabangsa, Emirates dan Qatar Airways, yang diwakili oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Kerjasama berkenaan memfokuskan kepada penganjuran promosi bersama serta pengukuhan ketersambungan udara bagi merancakkan kehadiran pelancong dari Timur Tengah menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026-2027).
Chua Choon Hwa berkata keutamaan utama ialah membina kerjasama praktikal yang mampu menyokong pertumbuhan pelancongan melalui sambungan laluan udara.
“Dengan bekerjasama rapat bersama syarikat penerbangan dan rakan industri, kami akan memastikan Malaysia lebih mudah diakses oleh pelancong dari UAE, GCC dan pasaran Timur Tengah. Hub penerbangan antarabangsa di Dubai dan Abu Dhabi turut membuka peluang besar bagi Malaysia menembusi pasaran di benua Afrika dan Eropah,” kata beliau.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, Malaysia merekodkan ketibaan 30,257 pelawat dari rantau GCC. Pasaran ini mempunyai potensi besar dalam segmen pelancongan mesra Muslim, pelancongan keluarga, kemewahan, beli-belah, kesihatan, alam semula jadi serta gastronomi selaras dengan tema ‘Surreal Experiences’ VM2026-2027.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































