CYBERJAYA, 12 Februari 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat enam individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.
Operasi pemeriksaan telah dijalankan hari ini terhadap seorang disyaki di Setapak, Kuala Lumpur, yang memuat naik kandungan palsu berhubung Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Dalam operasi tersebut, satu unit telefon pintar dan satu kad SIM telah disita untuk analisis forensik bagi mendapatkan bukti kes.
Selain itu, satu kes turut disiasat bersama Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM, dengan orang disyaki akan diambil keterangan pada 12 Februari 2025. Operasi bagi kes lain akan diteruskan sepanjang minggu ini di beberapa lokasi termasuk Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian, dan Teluk Intan. Dua notis juga telah dikeluarkan kepada orang disyaki bagi mendapatkan keterangan mereka.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan kegusaran dalam masyarakat. Pengguna digalakkan untuk menyemak kesahihan maklumat menerusi Chatbot AIFA di portal Sebenarnya.my atau aplikasi WhatsApp, yang boleh diakses dalam empat bahasa: Melayu, Inggeris, Mandarin, dan Tamil.
MCMC terus komited memastikan penggunaan internet yang selamat dan bertanggungjawab bagi kesejahteraan masyarakat.