TANJONG MALIM, 16 Jun 2026 – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, hari ini melancarkan buku UPSI Berduka, sebuah naskhah dokumentasi khas yang merakamkan kronologi serta pengajaran daripada insiden kemalangan bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Majlis peluncuran buku tersebut telah berlangsung di Bilik DiRaja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI. Buku berkenaan mendokumentasikan peristiwa menyayat hati yang berlaku di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu, yang mana insiden tersebut telah mengorbankan sebanyak 15 nyawa.
Dalam ucapannya, Dr. Zambry menegaskan bahawa penerbitan buku ini bukan sekadar merekodkan sebuah tragedi, malah merupakan manifestasi penghormatan tertinggi kepada mangsa serta ahli keluarga yang terkesan. Pada masa yang sama, ia menyerlahkan kekuatan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak ketika mendepani fasa sukar tersebut.
“Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara. Penerbitan UPSI Berdukamembolehkan pengalaman dan pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa tersebut terus dipelihara sebagai rujukan kepada generasi akan datang.
“Lebih penting, buku ini mengangkat nilai kemanusiaan, solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan oleh masyarakat, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam menghadapi satu ujian yang amat besar,” kata beliau.
Naskhah khas ini menghimpunkan catatan kronologi kejadian, pengalaman berharga daripada pelajar yang terselamat, luahan hati ahli keluarga dan waris, serta kisah pengorbanan sukarelawan, anggota penyelamat, dan petugas barisan hadapan sejak hari pertama insiden berlaku. Buku ini turut memuatkan dokumentasi terperinci mengenai tujuh fasa pengurusan krisis yang dilaksanakan oleh pengurusan UPSI bersama pelbagai agensi luar bagi memelihara kebajikan mangsa dan komuniti yang terkesan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, menyatakan bahawa penghasilan buku UPSI Berduka lahir daripada rasa tanggungjawab untuk merakamkan sejarah penting dalam keluarga besar universiti tersebut. Beliau berharap buku ini bukan sahaja menjadi pengajaran bermakna bagi warga kampus, malah dapat berfungsi sebagai rujukan utama masyarakat dan institusi lain dalam aspek pengurusan krisis.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































