KUALA LUMPUR, 18 Mei 2026 — Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah (PPTK) 2026 terus menjadi medan melahirkan orator muda berwibawa apabila menghimpunkan peserta sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara untuk mengasah kemahiran berhujah, berfikir kritis dan berkomunikasi secara berkesan.
Edisi 2026 yang berlangsung selama dua hari itu turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya dianjurkan di luar kampus universiti dan diperluas kepada penyertaan IPT. Majlis penutup berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selepas pertandingan bermula pada 16 Mei.
Program anjuran Jawatankuasa Kerja Perkembangan Akademik dan Intelektual Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM), itu membawa tema “Teknologi Hijau: Pemangkin Pembangunan Alam Sekitar Mampan” dan menghimpunkan 30 orator muda pada peringkat separuh akhir.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri, berkata penguasaan seni pidato selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan modal insan yang seimbang antara kecemerlangan akademik dan kemahiran komunikasi.
Beliau berkata, kemahiran seperti empati, pemikiran kritis dan komunikasi berkesan tidak mampu digantikan oleh mesin, terutama pada era kebangkitan kecerdasan buatan (AI).
“Pidato menjadi wadah penting dalam melatih mahasiswa menganalisis isu kompleks secara objektif serta menyampaikan hujah berfakta,” katanya.
Menurutnya, elemen itu bertepatan dengan inisiatif UM LEADER yang berpaksikan enam nilai utama, iaitu Laureate, Ethical, Analytical, Dynamic, Empathy dan Resilient.
Pengarah DBP Wilayah Tengah, Julia Alani Henry, berkata penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang etnik, termasuk bukan Melayu, membuktikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa perpaduan dan rujukan ilmu dalam mendepani arus globalisasi. Beliau berkata penganjuran di DBP juga menjadi pencapaian strategik bagi memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dengan badan bahasa negara.
Dalam kategori IPT, Muhammad Faizal Isahak dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dinobatkan sebagai johan menerusi penguasaan isu semasa dan penyampaian berkarisma. Tempat kedua diraih Muhammad Irfan Daniel Irwan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Bagi kategori sekolah menengah, Auni Nabiha Ahmad Zaki dari SMK Seksyen 10 KD muncul johan, manakala Chiah Wei Yuan dari SMK Subang Utama meraih tempat kedua. Pemenang tempat ketiga dan keempat bagi kedua-dua kategori masing-masing membawa pulang wang tunai RM600 dan RM400.

Pengarah PPTK 2026, Muhamad Fitri Ilham Hamid, berkata sambutan terhadap kategori IPT amat menggalakkan sejak pertandingan itu mula diperkenalkan pada 2015. Penganjuran edisi kali ini turut mendapat sokongan KPT, Yayasan Perkasa Siswa, Yayasan Aman, YAPEIM, Tenaga Nasional Berhad, UM Press dan Pilot Pen Malaysia.
PPTK 2026 turut menerima Anugerah Projek Terbaik sempena Anugerah Kecemerlangan Kurshiah ke-63 pada 6 Jun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap impak, kreativiti dan kecekapan pengurusan penganjurannya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































