SHAH ALAM, 12 Jun 2026 — MBI Selangor menjadi konglomerat pelaburan milik kerajaan negeri pertama di Malaysia menggunakan platform penilaian dan analisis ESG berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menilai kesiapsiagaan ESG anak syarikatnya.
Langkah itu dibuat menerusi kerjasama strategik antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), atau MBI Selangor, dengan UN Global Compact Network Malaysia, Brunei & Cambodia (UNGCMBC).
Platform dikenali sebagai RANTAiX itu pada asalnya dibangunkan untuk menilai rantaian bekalan dan vendor. Menerusi kerjasama berkenaan, penggunaannya diperluas bagi menilai prestasi ESG di peringkat kumpulan, termasuk portfolio anak syarikat MBI Selangor.
RANTAiX membolehkan MBI Selangor mengenal pasti amalan kelestarian semasa, risiko utama dan jurang keupayaan anak syarikatnya.
Data itu juga membantu syarikat merangka pelan tindakan lebih bersasar, memantau prestasi dan membina garis dasar ESG yang seragam di peringkat kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Saipolyazan M. Yusop, berkata pelaburan itu mengubah cara syarikat mengurus risiko dan mencipta nilai sebagai pemegang amanah aset negeri.
“ESG bukan lagi sekadar kewajipan pelaporan. Ia kanta strategik yang menentukan cara kita mengurus risiko, mencipta nilai dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset Selangor,” katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan UNGCMBC dan penggunaan RANTAiX membolehkan komitmen ESG MBI Selangor disokong data, diukur lebih teliti dan dilaksanakan merentasi semua syarikat dalam kumpulan itu.
Timbalan Pengarah Eksekutif UNGCMBC, Angeline Seah, berkata platform pintar itu membolehkan organisasi beralih daripada aspirasi kepada tindakan yang boleh diukur.
“Ramai organisasi mahu melaksanakan ESG dengan berkesan, namun tanpa garis dasar yang tersusun, usaha itu kerap kekal berpecah-pecah. Dengan menilai anak syarikatnya secara serentak melalui satu platform pintar, MBI Selangor mengambil langkah praktikal ke arah tadbir urus ESG yang lebih terselaras di peringkat kumpulan,” katanya.
Menurut Seah, pendekatan itu membantu organisasi mengenal pasti keutamaan pembangunan keupayaan, memantau kemajuan dan menterjemahkan komitmen ESG kepada tindakan.
Langkah itu juga selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menekankan amalan tadbir urus baik dan penciptaan nilai jangka panjang demi manfaat rakyat.
Inisiatif itu dijangka menjadi penanda aras baharu kepada entiti pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan konglomerat lain di Malaysia dalam mengurus pelaburan bertanggungjawab serta berorientasikan masa depan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































