KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Sebanyak 100 syarikat startup teknologi Malaysia yang diiktiraf dalam penerbitan Malaysia Top 100 Startups – 2026 Edition mencatatkan perolehan pendapatan keseluruhan sebanyak RM8.5 bilion bagi tahun kewangan 2024 (FY2024).
Penerbitan sulung yang dilancarkan oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), turut merekodkan purata kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 87 peratus dalam kalangan perniagaan terbabit.
Daripada jumlah berkenaan, 36 syarikat merekodkan keuntungan bersih melebihi RM1 juta, manakala 58 syarikat telah berjaya mengembangkan operasi ke pasaran serantau dan antarabangsa. Selain itu, 66 peratus daripada syarikat yang tersenarai merupakan perniagaan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, berkata pencapaian berkenaan mencerminkan kematangan ekosistem serta keupayaan bakat tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Startup ini mencerminkan kekuatan bakat yang kita miliki, kematangan ekosistem serta aspirasi inovator Malaysia untuk bersaing melangkaui sempadan negara, sejajar dengan hasrat kita untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan ekosistem startup terbaik di dunia menjelang 2030,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke, memaklumkan bahawa 33 daripada syarikat yang disenaraikan pernah menerima pembiayaan daripada Cradle menerusi geran atau pelaburan.
“Apa yang paling menyerlah dalam edisi ini ialah kemajuan yang dicapai oleh startup Malaysia dalam membangunkan perniagaan yang mampan dan mencapai keuntungan, sambil terus mengekalkan trajektori pertumbuhan yang sangat kukuh,” kata beliau.
Penilaian bagi penerbitan ini dibuat berdasarkan data kewangan FY2024 daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pangkalan data Cradle. Laporan lengkap Malaysia Top 100 Startups – 2026 Edition kini boleh dimuat turun menerusi portal rasmi MYStartup.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































