KUALA LUMPUR – Penyanyi, usahawan, dan jurulatih kehidupan bertauliah, Nourul Depp, sekali lagi diberi kepercayaan menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang bakal berlangsung di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober ini bermula jam 9:30 pagi.
Secara kronologinya, inisiatif yang digerakkan menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) ini diperuntukkan dana sebanyak RM4 juta bagi tahun 2026, dengan sasaran untuk melatih 80 pemimpin wanita dan melibatkan 4,000 peserta di seluruh negara.

Selain Nourul, acara berprestij ini turut menampilkan usahawan kosmetik Dato Sri Alha Alfa sebagai penceramah jemputan serta penyanyi Atilia selaku pengajar.
Mengulas mengenai pemilihannya, Nourul menyifatkan penyertaannya kali ini membawa makna yang lebih besar dan bukan sekadar sebuah pengiktirafan peribadi.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan. Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri, dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Melangkah lebih jauh dari dunia seni yang diceburinya lebih tiga dekad lalu, Nourul kini diiktiraf sebagai RMT Certified Life Coach serta penceramah berakreditasi HRD Corp. Komitmennya terhadap pembangunan wanita diterjemahkan menerusi penubuhan Firetalk, sebuah platform yang memfokuskan kesedaran diri, kecerdasan emosi, dan transformasi peribadi.
Menurut Nourul, Firetalk bukanlah sekadar program motivasi biasa, tetapi merupakan ruang selamat untuk wanita memproses pengalaman hidup dan meraikan kekuatan diri. Misi ini dilihat sejajar dengan objektif program PERANTIS dalam membangunkan kepimpinan wanita.
“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi. Apabila seorang wanita mengubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan, dan masa depannya,” jelasnya.
Menjadikan perjalanan hidupnya sebagai inspirasi, pengalaman Nourul merentas pelbagai fasa kehidupan—dari bermulanya kerjaya seni di usia muda sehinggalah kepada dunia keusahawanan dan bimbingan kehidupan.
Malah, pada tahun 2026 ini juga, beliau berjaya merealisasikan impian menganjurkan konsert solonya, For You: Nourul di Zepp Kuala Lumpur.
Melalui penglibatannya dalam PERANTIS 2026, Nourul berharap dapat terus membimbing wanita untuk bangkit tanpa dibayangi masa lalu.
“Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah. Kita boleh sembuh. Kita boleh membina semula diri. Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya menjadi, saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka,” tambahnya lagi.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































