KUALA LUMPUR, 17 Oktober (Bernama) – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), pengeluar bahan kimia terbesar di Asia Tenggara, meneruskan program Be Green di Thailand buat tahun kedua dengan menjalankan aktiviti pembersihan di Terusan Lat Phrao. Aktiviti ini dijalankan dengan kerjasama TerraCycle Thai Foundation (TerraCycle) serta pelajar dari sekolah-sekolah terpilih.
Program tersebut bertujuan mendidik komuniti setempat tentang pengurusan sisa plastik yang bertanggungjawab dan menyumbang kepada pengurangan pencemaran plastik.
“Pengembangan program Be Green ke peringkat antarabangsa mencerminkan komitmen kami dalam memajukan ekonomi kitaran, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara jiran tempat PCG beroperasi. Kami berharap program ini dapat memperkasakan generasi muda untuk meneruskan usaha menuju masa depan yang bersih dengan mentransformasikan sisa plastik kepada sumber bernilai,” kata Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG.
Program Be Green mula diperkenalkan di Thailand pada 2023 melalui anak syarikatnya, PCM (Thailand) Co. Ltd. Selain aktiviti pembersihan, program tahun ini memperkenalkan pengurusan Bank Sisa, di mana pelajar belajar kemahiran pengurusan perniagaan, literasi perisian komputer, dan pemuliharaan alam sekitar.
TerraCycle juga akan menawarkan bimbingan selama setahun kepada sekolah-sekolah terpilih, dengan sesi dalam talian mengenai inisiatif kelestarian dan kesedaran tentang pengurangan sisa. Di samping itu, buku panduan akan diedarkan sebagai rujukan mengenai pengurusan Bank Sisa dan pemuliharaan alam sekitar.
“Kami menerima sambutan positif daripada komuniti tempatan semasa aktiviti pembersihan di terusan ini tahun lalu. Melalui program ini, kami mendidik masyarakat tentang pengurusan sisa plastik yang betul, selaras dengan Peta Jalan Pengurusan Sisa Plastik Thailand 2018–2030,” kata Rungnapa Chinvigai, Ketua Pegawai Eksekutif PCM (Thailand).
Ditubuhkan pada 2013, program Be Green bertujuan memberi impak positif kepada masyarakat melalui pendidikan dan aktiviti kitar semula secara kerjasama. Ini sejajar dengan strategi ekonomi plastik baharu PCG dan usaha global ke arah ekonomi kitaran. Program ini turut menyokong salah satu teras sosial PETRONAS, iaitu Planting Tomorrow, dengan memfokuskan pendidikan tentang biodiversiti dan gaya hidup lestari.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.