KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2025 — Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) mengukuhkan komitmennya terhadap tadbir urus korporat yang berintegriti dengan memeterai dua perjanjian strategik bersama SIRIM Academy Sdn Bhd dan SIRIM QAS International Sdn Bhd dalam satu majlis di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.
Majlis ini menyaksikan Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, menandatangani perjanjian konsultansi bersama Nik Sazali Nik Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy Sdn Bhd, serta perjanjian perkhidmatan pensijilan ISO 37001:2025 (Sistem Pengurusan Antirasuah – ABMS) bersama Ts. Md Adha Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd. Majlis turut disaksikan oleh Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi.
Kerjasama ini bertujuan melaksanakan sistem pengurusan antirasuah berasaskan standard antarabangsa ISO 37001:2025, sejajar dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP 2024-2028). Melalui bimbingan SIRIM Academy, PKNPk akan menjalani penilaian risiko, pelaksanaan dasar, dan latihan khusus untuk warga kerja, manakala SIRIM QAS International akan mengaudit sistem untuk pengiktirafan rasmi.
“Langkah ini mencerminkan komitmen tegas kami membina organisasi bebas rasuah. Pensijilan ini akan memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan terhadap PKNPk sebagai pemacu pembangunan Perak,” kata Datuk Redza Rafiq.
Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar memuji usaha PKNPk, menyifatkan kerjasama ini sebagai sokongan SIRIM terhadap agenda nasional. “Kami berharap pensijilan ini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Perak sebagai destinasi pelaburan yang progresif,” ujar beliau.
PKNPk telah melaksanakan inisiatif integriti sejak 2024, termasuk Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan polisi pencegahan rasuah. Pelaksanaan ABMS ini dianggap langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat yang telus dan bertanggungjawab.
Langkah ini diiktiraf sebagai pencetus transformasi pentadbiran agensi kerajaan negeri, berpotensi menjadi penanda aras kepada agensi lain dalam memprioritaskan budaya integriti.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.