LONDON, 6 November 2025 — Penyertaan Sarawak di World Travel Market (WTM) London 2025 membuahkan kejayaan apabila negeri itu meraih dua pengiktirafan antarabangsa yang menonjolkan usaha berterusannya dalam mempromosikan warisan semula jadi dan budaya kepada khalayak global.
Sarawak menerima Best Stand Feature Award di WTM Best Stand Awards 2025 hasil rekaan gerbang LED unik di Pavilion Sarawak yang memaparkan visual dinamik seperti Mulu Pinnacles, Air Terjun Three Sisters di Long San, Baram, dan Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti.
Reka bentuk interaktif ini diiktiraf juri kerana penggunaan elemen audio visual yang berkesan serta pendekatan kreatif dalam memperkenalkan landskap pelancongan Sarawak.
WTM London 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 6 November telah menghimpunkan kira-kira 5,000 pempamer dari 180 negara dan wilayah. Penyertaan Sarawak diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan 15 rakan pempamer industri, mempersembahkan kepelbagaian produk pelancongan negeri di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Sarawak turut disenaraikan antara Top 10 Most Desirable Regions (Worldwide) di Wanderlust Reader Travel Awards 2025. Anugerah tersebut disampaikan di Pavilion Sarawak (N10-400), satu gambaran di manaminat pelancong globalterhadap destinasi yang mengekalkan nilai budaya, keaslian dan kelestarian alam.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Haji Salleh Askor, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai dorongan untuk terus memperkukuh cara Sarawak dipersembahkan di pentas dunia.
“WTM London adalah satu platform penting untuk kami berkongsi kisah dan keunikan Sarawak bersama rakan industri, media dan pelawat antarabangsa. Kami amat menghargai sambutan positif yang diterima,” katanya.
Kedua-dua pengiktirafan ini melengkapi penyertaan komprehensif Sarawak di WTM London 2025 yang turut menampilkan persembahan budaya, interaksi perdagangan dan media, serta pelancaran video ‘Sarawak Welcomes You’ dan pakej Borneo UNESCO Sites.
Kesemua inisiatif ini memperkukuh peranan Sarawak dalam menyokong kempen Visit Malaysia Year (VMY) 2026, berteraskan kelestarian, pemerkasaan komuniti, dan lima tonggak utama CANFF:Culture (Budaya), Adventure (Pengembaraan), Nature (Alam Semula Jadi), Food (Makanan), dan Festivals (Perayaan).
Seiring usaha memperluas capaian global, pengiktirafan di WTM London 2025 juga memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pintu gerbang masuk Borneo, destinasi yang menampilkan keaslian, kreativiti dan tanggungjawab terhadap pelancongan lestari.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.










































