KUALA LUMPUR, 24 Jun 2025 – Berikutan kejayaan Program Persahabatan Hutan Malaysia-Jepun (MJFFP) di Bidor, Perak, AEON kali ini melancarkan satu lagi inisiatif penghijauan yang baharu selamat tiga tahun di Segamat, Johor.
Projek ini merupakan sebahagian daripada legasi berterusan MJFFP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Ia menandakan bab baharu dalam komitmen jangka panjang AEON terhadap kelestarian alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti.
Majlis ini turut menandakan MJFFP di Bidor telah siap dengan rasminya, yang telah berlangsung dari tahun 2014 hingga 2023.
Dalam projek tiga fasa ini, AEON berjaya menanam 30,000 pokok spesies hutan hujan tropika di kawasan seluas 22.75 hektar yang dahulunya merupakan kawasan bekas lombong bijih timah. Inisiatif ini turut menyumbang kepada kempen 100 Juta Penanaman Pokok oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Projek menanam pokok di Segamat telah diumumkan secara rasmi dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabat FRIM di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.
Dalam majlis tersebut, Naoya Okada, Pengarah Urusan AEON CO. (M) BHD dan Dato’ Dr. Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM telah bertukar Surat Hasrat (LOI) sebagai simbol komitmen bersama terhadap inisiatif ini. Pertukaran ini turut disaksikan oleh Dr. Norwati Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM dan Tsugutoshi Seko, Timbalan Pengarah Urusan AEON.
Sebagai simbolik kepada pelancaran inisiatif di Segamat, satu sesi penanaman pokok turut diadakan di Padang 44, FRIM Kepong. Antara spesies pokok yang ditanam termasuk meranti temak nipis (Anthoshorea roxburghii), meranti tembaga (Rubroshorea leprosula) dan sesenduk (Endospermum diadenum).
Inisiatif di Segamat ini bakal menyaksikan 30,000 pokok ditanam di kawasan seluas 36 hektar dalam tiga fasa, dengan 10,000 pokok ditanam bagi setiap fasa. Projek ini, yang akan berlangsung dari tahun 2025 hingga 2027, bertujuan mengulangi kejayaan program di Bidor yang telah mengubah kawasan bekas lombong menjadi ekosistem yang subur dan aktif.
Naoya Okada menyatakan penghargaan beliau terhadap kerjasama berterusan ini dengan berkata:
Menghargai kerjasama berterusan ini, Naoya Okada berkata Projek di Bidor membuktikan apa yang boleh dicapai apabila tanggungjawab korporat digabungkan dengan kepakaran saintifik.
“Kami berbangga untuk meneruskan legasi ini di Segamat. AEON sentiasa mengutamakan penjagaan alam sekitar sebagai sebahagian teras strategi kelestarian kami. Sejak memulakan inisiatif penanaman pokok pada tahun 1991, kami telah menanam lebih 557,000 pokok di seluruh negara melalui pelbagai inisiatif penghijauan,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Dr. Ismail berkata FRIM amat menghargai komitmen AEON terhadap kelestarian alam sekitar dan menambah bahawa tapak penanaman di Bidor akan dikekalkan sebagai plot penyelidikan dan pendidikan, serta kawasan pengeluaran benih pada masa hadapan.
“Usaha penghijauan di kawasan bekas lombong ini turut berjaya menarik pelbagai spesies fauna, termasuk burung berhijrah. FRIM mengalu-alukan kerjasama dengan AEON dalam usaha memelihara dan melindungi alam sekitar. Kami juga bersedia untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama pada masa akan datang,” ujarnya.
Inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen AEON terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dalam menyokong pemulihan alam sekitar, penglibatan komuniti dan pertumbuhan lestari demi masa depan generasi akan datang.


Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































