Tiga ikon muzik tanah air, Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah bakal bergabung tenaga untuk merawat jiwa peminat menerusi konsert berskala besar, ‘Healing Nite 2026’ yang dijadualkan berlangsung di lokasi ikonik, Stadium Merdeka pada 24 Januari ini.
Acara yang mengangkat tema terapeutik itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bintang sensasi dari Indonesia, Lyodra dan kumpulan popular, Kangen Band, menjadikan ia medan ‘pemulihan’ emosi terbaik bagi memulakan tahun baharu.
Dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan kerjasama Creative Page dan Yumeca Sdn Bhd, konsert ini bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya disusun sebagai satu bentuk terapi muzik bagi melepaskan tekanan.
Penyanyi bervokal lunak, Anuar Zain menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai peluang untuk penonton melakukan ‘reset’ emosi dan minda.
“Saya suka menyifatkan reset emosi dan minda sebagai fresh start effect atau memulakan sesuatu yang baharu dengan segar seperti kita melepaskan beban lama dengan membina niat baru.
“Hiburan boleh menjadi salah satu teraputik terbaik sekaligus kerana muzik boleh meningkatkan emosi positif dan menghilangkan stres,” katanya.
Senada dengan Anuar, Ratu Rock Negara, Ella berharap peminat dapat melepaskan segala bebanan tahun lalu menerusi tenaga muzik yang bakal dipersembahkan.
“Mungkin ada ramai yang memendam perasaan pada tahun lalu seperti penat bekerja atau hilang keyakinan diri, jadi mari kita lepaskan semua yang ‘buruk’ dengan tenaga baharu di Healing Nite 2026,” ujar Ella.
Sementara itu, Dayang Nurfaizah mengajak orang ramai melihat konsert ini sebagai satu aktiviti gaya hidup sihat.
“Ramai mungkin lupa bahawa mendengar muzik selain dapat melepaskan tekanan ia juga sebagai aktiviti sihat seperti baru melakukan senaman ringan dengan menyanyi dan ‘bergoyang’. Awal tahun adalah masa terbaik untuk kita menarik semua yang positif,” katanya.
Uniknya, Healing Nite 2026 turut memperkenalkan konsep gaya hidup menyeluruh bermula seawal jam 1.00 petang. Pengunjung bakal disajikan dengan zon ‘Healing Tent’ yang menawarkan pelbagai jualan makanan dan minuman daripada jenama popular seperti LADO, Cartel Coffeeshop, dan Ahmad Fried Chicken.
Malah, perkhidmatan Teratak Spa turut disediakan bagi memberikan pengalaman santai yang sebenar sebelum konsert bermula pada jam 8.45 malam.
Tiket konsert kini boleh didapati dengan harga bermula RM190 menerusi laman web rasmi Ticket2u.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































