KUALA LUMPUR, 17 Mac 2025 – Ketika rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2025, satu kajian terkini oleh Milieu Insight, sebuah syarikat penyelidikan pasaran dan analitik data global, mendedahkan trend utama dalam tabiat perbelanjaan, pemilihan pakaian, dan kaedah pembayaran semasa musim perayaan ini.
Kajian kuantitatif ini melibatkan 501 responden berusia antara 16 hingga 55 tahun ke atas, yang memberi gambaran tentang bagaimana pengguna menyesuaikan pembelian mereka berdasarkan faktor penjimatan kos, kemudahan, serta fleksibiliti pembayaran.
Trend Digital: Pembayaran tanpa tunai dan peningkatan e-dagang
Lebih ramai rakyat Malaysia memilih transaksi tanpa tunai untuk pembelian pakaian Raya, dengan 53% menggunakan e-dompet berbanding wang tunai, atas faktor keselamatan dan kemudahan. Selain itu, perkhidmatan “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (BNPL) semakin mendapat perhatian, terutamanya dalam kalangan pembeli muda, dengan 18% daripada mereka menggunakan kaedah ini untuk fleksibiliti kewangan.
E-dagang terus menjadi pilihan utama bagi persiapan Raya, dengan 83% pengguna memilih Shopee untuk mendapatkan barangan keperluan perayaan. Peningkatan populariti kedai di media sosial seperti TikTok Shop (33%) juga menunjukkan bahawa pengalaman membeli-belah secara interaktif memainkan peranan penting dalam keputusan pembelian pengguna.
Keutamaan pengguna dalam membeli-belah Raya 2025
Bila rakyat Malaysia mula membeli pakaian Raya?
- 36% memulakan persiapan pada Mac, manakala 23% sudah membeli sejak Januari atau Februari.
- 18% telah melengkapkan semua pembelian lebih awal, manakala 22% memilih untuk memakai semula pakaian sedia ada.
Kecenderungan terhadap jenama tempatan dan baharu
- 60% pengguna lebih cenderung menyokong jenama tempatan berbanding jenama luar negara (hanya 8%).
- 38% terbuka untuk mencuba jenama baharu, terutamanya dalam kalangan Gen Z (48%).
Bajet perbelanjaan
- 25% pengguna memperuntukkan RM101–RM200 untuk pakaian Raya.
- 26% membelanjakan RM201–RM300 untuk hamper dan hadiah Raya.
Implikasi untuk perniagaan
Bagi jenama dan peruncit, kejayaan menarik minat pengguna semasa Raya 2025 bergantung kepada strategi digital yang berkesan. Promosi awal, pengalaman e-dagang yang lancar, serta pilihan pembayaran fleksibel seperti BNPL menjadi faktor utama yang dapat memenuhi jangkaan pengguna.
Dengan lebih ramai rakyat Malaysia memilih membeli-belah dalam talian serta menyokong jenama tempatan, syarikat yang menyelaraskan strategi mereka dengan trend ini berpeluang meraih kelebihan daya saing yang lebih kukuh.
Kajian ini dijalankan antara 27 Februari hingga 6 Mac 2025 oleh Milieu Insight.