KUALA LUMPUR, 7 Okt 2022 – Kerajaan melalui Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS) akan menyediakan pelaburan Dana Asas berjumlah RM100 juta khusus bagi syarikat Bumiputera sebagai dana pelaburan langsung untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka yang berkebolehan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Ini akan melibatkan nilai pelaburan minimum sebanyak RM10 juta bagi setiap pelaburan,” kata beliau semasa membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga berkata, Pelaburan Hartanah Bhd pula akan mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta tahun hadapan untuk terus melaksanakan pembangunan komersial bagi menambah nilai pemilikan hartanah Bumiputera termasuk di tanah-tanah rizab Melayu.
— Akses Malaysia