KUALA LUMPUR, 5 Disember 2025 – Balai Seni Negara kini sedang menganjurkan Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone (SCCZ) yang menampilkan 39 karya seramik hasil kreativiti 10 seniman visual tempatan, bermula 28 November lalu hingga 30 April 2026.
Pameran yang berlangsung di Aras 1 bangunan tersebut mempamerkan koleksi merangkumi seni seramik artistik, tembikar (pottery), pinggan mangkuk (tableware), dan arca yang menonjolkan kepelbagaian teknik serta pendekatan artistik seniman yang terlibat.
Kesemua karya yang dipamerkan merupakan hasil daripada Program Residensi SCCZ yang telah dijalankan secara intensif pada 22 hingga 30 Oktober 2025. Program residensi jangka pendek ini menghimpunkan seniman daripada pelbagai latar belakang untuk meneroka potensi seni seramik kontemporari di Malaysia.
Sepuluh seniman yang terlibat dalam projek ini ialah Amy Nazira, Sabri Idrus, Saiful Razman, S. Amin Shahab, Bone Alfie, Shafiq Nordin, Amer01, Khairul Izzuddin, Kenji Chai, dan Tan Kai Sheuan.
Program ini telah memberi peluang kepada seniman untuk berkarya secara langsung di studio profesional di bawah bimbingan pakar seramik berpengalaman. Ia dilaksanakan menerusi kerjasama strategik di tiga lokasi utama pembuatan seramik iaitu BK Art Studio di Kuala Kangsar (Perak), Ilham Ceramic Studio di Langkawi (Kedah), dan Sari Chempaka Art Village di Karak (Pahang).

Melalui pendekatan praktikal dan dialog kritikal, seniman telah menghasilkan karya baharu sambil memperkukuh pemahaman mereka tentang hubungan antara bentuk, fungsi dan ruang dalam rekaan seramik.
Inisiatif ini diharapkan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem seni seramik di Malaysia serta mengangkat seni seramik sebagai cabang penting dalam landskap seni kontemporari negara.
Selain meningkatkan kemahiran teknikal, program residensi ini turut bertujuan memperluas jaringan antara seniman pelbagai generasi serta komuniti seramik tempatan, sekali gus membuka ruang kolaborasi berterusan.
Orang ramai dijemput menyaksikan pameran ini yang dibuka setiap hari. Sebagai acara sokongan, Balai Seni Negara turut membuka “Pameran Asal Tanah” di Galeri 2B bermula hari ini, 5 Disember 2025 hingga 30 April 2026. Pameran sokongan ini menampilkan kira-kira 83 karya yang dihasilkan oleh seniman jemputan serta koleksi tetap Balai Seni Negara.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau mengikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































