ALOR SETAR, 28 Jun 2023 (Bernama) — Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini selaras dengan perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad lepas.
Pembubaran itu sekali gus menamatkan pentadbiran tiga tahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada 17 Mei 2020.
Susulan pembubaran itu, bermula hari ini pentadbiran kerajaan negeri Kedah akan dijalankan oleh kerajaan interim ataupun ‘Caretaker Government’, dengan segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan PH mengambil alih kerajaan negeri dengan kemenangan 18 daripada 36 kerusi, persidangan pertama DUN Kedah bagi penggal ke-14 berlangsung pada 3 Julai 2018.
Pembubaran DUN Kedah hari ini menyaksikan mandat lima tahun berakhir enam hari lebih awal berbanding tarikh akhir pada 4 Julai.
Kedah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Negeri ini mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan terkini DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6); PH menguasai 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); Barisan Nasional memperoleh dua kerusi (UMNO-2) dan Parti Pejuang Tanah Air (2).
Dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun daripada PKR Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Dis tahun lepas dan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala ADUN Belantek Datuk Mohd Isa Shafie pula meninggal dunia 14 Jun lepas.
— BERNAMA