Siri jelajah Loop Tour penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran di Amerika Utara dan Amerika Selatan kini berdepan konflik besar selepas kesemua artis pembuka (opening act) mengumumkan penarikan diri sebagai tanda solidariti terhadap penyanyi rap, Macklemore.
Tindakan itu diambil susulan penyingkiran Macklemore daripada siri konsert berikutan kelantangannya menyuarakan sokongan terhadap Palestin dan melaungkan “Free Palestine” semasa persembahan di MetLife Stadium, New Jersey. Penyingkiran itu dipercayai didorong oleh tekanan daripada penganjur serta pemilik stadium, yang didalangi jutawan Robert Kraft, pemilik Stadium Gillette.
Susulan penyingkiran itu, Macklemore menerusi hantaran di Instagram menegaskan pendiriannya untuk terus bersolidariti dengan rakyat Palestin.
“Saya mahu mengembalikan perhatian kepada rakyat Palestin yang masih dibunuh, hidup di bawah pendudukan tentera dan berjuang untuk kebebasan.
“Walaupun kita berbeza pandangan, saya berharap kita boleh bersetuju bahawa nyawa rakyat Palestin wajar dilindungi dan nilainya tidak kurang daripada nyawa manusia lain,” katanya.
Menurut beliau lagi, hasil dari kutipun konsert secara keseluruhan akan didermakan kepada orang Palestine.
“Saya akan menyumbangkan keseluruhan AS$1 juta daripada pendapatan bersih saya menerusi Loop Tour Ed Sheeran kepada enam organisasi yang membantu rakyat Palestin.
Susulan kejadian itu, beberapa rakan pemuzik Sheeran turut mengumumkan penarikan diri masing-masing, termasuk penyanyi dan penerbit muzik pemenang Anugerah Grammy, FINNEAS, kumpulan pop-rock Denmark, Lukas Graham, serta penyanyi Ireland, Aaron Rowe dan kumpulan Beoga.
FINNEAS, yang juga abang dan kolaborator muzik kepada penyanyi Billie Eilish, menegaskan bahawa penggiat seni tidak sepatutnya dibungkam apabila menyuarakan kebenaran demi kemanusiaan.
“Artis tidak boleh didiamkan apabila mereka mempertahankan golongan yang ditindas.
“Saya telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada siri konsert akan datang bersama Ed Sheeran. Saya berdiri teguh bersama Palestin dan rakyatnya,” katanya menerusi satu hantaran di laman Instagram .
Memberi pandangan yang sama, Lukas Graham dalam kenyataan di Instagram berkata artis sepatutnya bebas bersuara tentang apa yang berlaku, terutamanya apabila ia melibatkan isu kemanusiaan.
“Kita sepatutnya boleh bercakap mengenai perang, orang awam yang terbunuh dan kanak-kanak yang berhak membesar, tanpa mengira di mana mereka tinggal atau bendera apa yang berkibar di atas mereka,” katanya.
Pada masa yang sama, penyanyi Aaron Rowe dan kumpulan Beoga menyifatkan sejarah penderitaan rakyat Ireland yang pernah melalui zaman penjajahan, mematangkan kefahaman mereka terhadap situasi yang berlaku di Gaza.
Rowe turut berkata beliau tidak sanggup membiarkan golongan jutawan dan berkuasa menggunakan pengaruh kewangan untuk menyekat kebebasan bersuara terhadap kekejaman yang berlaku.
Rentetan daripada itu, Ed Sheeran dalam kenyataan rasminya menerusi Instagram menjelaskan bahawa keputusan mengugurkan Macklemore dibuat sepenuhnya oleh pihak penganjur dan pemilik tapak konsert, bukannya atas kehendak peribadi beliau.
“Macklemore dikeluarkan daripada siri jelajah itu atas keputusan pihak penganjur, bukan keputusan saya. Kontrak Macklemore untuk siri jelajah tersebut adalah dengan pihak penganjur dan bukan dengan saya.
“Saya tidak akan sesekali mengecewakan peminat yang telah membuat perancangan untuk menghadiri konsert tersebut, apatah lagi meninggalkan kru jelajah serta artis sokongan dan pemuzik lain yang bergantung kepada saya untuk mendapatkan pekerjaan dan menyara kehidupan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Meskipun Sheeran meluahkan rasa sedih atas konflik yang melanda, tindakan berani rakan-rakan artis itu terus mendapat pujian ramai netizen dan aktivis yang menganggap sokongan padu tersebut sebagai gelombang solidariti yang cukup berkuasa dalam industri muzik dunia.
Pastikan yang benar, bukan omong kosong































