KUALA LUMPUR, 15 September 2026 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura memperkukuh kerjasama strategik serta operasi bagi menangani ancaman dadah rentas sempadan menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada 31 Disember depan.
Langkah berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Dua Hala AADK-CNB di sini yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh, bersama delegasi CNB yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi), Aaron Tang.
AADK dalam kenyataan media memaklumkan peningkatan pergerakan merentas sempadan susulan pembukaan RTS Link menuntut kesiapsiagaan serta koordinasi mantap daripada agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.
Bagi memastikan kecekapan kawalan, mesyuarat tersebut memperincikan susunan operasi, mekanisme penyelarasan pegawai, dan saluran komunikasi pantas di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar di Johor serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North di Singapura.
Sebagai langkah proaktif, AADK akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di kedua-dua lokasi pintu masuk utama berkenaan. Selain itu, kedua-dua pihak turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS), serta modus operandi penyeludupan terkini bagi memelihara keselamatan kedua-dua negara.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































