KUALA LUMPUR, 28 April 2025 – Israel didakwa menggunakan kebuluran sebagai senjata perang ke atas penduduk Palestin di Gaza apabila sekatan penuh terhadap laluan bantuan kemanusiaan terus dikenakan sejak 2 Mac lalu, menurut badan kemanusiaan Islamic Relief.
Dalam satu kenyataan, Islamic Relief memaklumkan bahawa krisis kebuluran di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal dengan pasar-pasar kehabisan makanan, kanak-kanak menderita kekurangan zat, dan rakyat bergelut mendapatkan keperluan asas.
“Bantuan kemanusiaan berada pada tahap genting. Sekatan terhadap kemasukan bekalan makanan dan perubatan bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi turut menyebabkan penderitaan luar biasa kepada rakyat Gaza,” menurut kenyataan itu.
Laporan dari lapangan menunjukkan harga sayur-sayuran melonjak sehingga 15 kali ganda, manakala bahan makanan seperti daging, telur dan produk tenusu hampir tidak dapat diperoleh.
Menurut Islamic Relief, lebih 18 bulan serangan telah melumpuhkan keupayaan penduduk Gaza untuk menjana pendapatan apabila tanah pertanian, bot nelayan dan rumah hijau dimusnahkan. Penduduk kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar, yang turut terhalang akibat sekatan.
Kajian terhadap 43 agensi bantuan mendapati 95 peratus daripada mereka terpaksa mengurangkan atau menghentikan operasi berikutan pengeboman berterusan dan kekangan logistik.
Walaupun berdepan kekangan, Islamic Relief dan Program Makanan Sedunia (WFP) masih menyalurkan bantuan harian seperti biskut berkalori tinggi, bar kurma dan minyak sayuran kepada lebih 7,000 orang setiap hari.
Organisasi itu turut menyeru kepada pelaksanaan gencatan senjata berkekalan dan pembukaan semula laluan bantuan tanpa kelewatan, serta menggesa komuniti antarabangsa supaya mengenakan tekanan ekonomi dan diplomatik terhadap Israel.
“Sekadar kenyataan keprihatinan tidak mencukupi. Tindakan tegas seperti menghentikan penjualan senjata perlu dilaksanakan untuk menghentikan penggunaan kebuluran sebagai senjata,” menurut kenyataan itu.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.