LABUAN, 29 Januari 2025 — Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (JASWPL) giat menjalankan rondaan darat bagi Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di beberapa kawasan strategik, termasuk industri kecil dan sederhana, kawasan perindustrian, tali air, belukar, kawasan perumahan dan pantai.
Menurut JASWPL, pemantauan yang dilakukan setakat ini tidak mengesan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, termasuk kebakaran hutan, belukar atau tanah persendirian.
Selain itu, pemeriksaan di kawasan industri pada hujung minggu turut dijalankan bagi mengesan potensi pencemaran, namun tiada kes atau aktiviti mencurigakan ditemui. Rondaan turut diperluaskan ke kawasan pantai, sungai dan paya bakau bagi memantau pencemaran seperti tar ball dan oil sheen.
Di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta, hukuman penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali. Pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan harian sebanyak RM5,000 selepas notis dikeluarkan atau dikompaun sehingga 50% daripada denda maksimum.
JASWPL menegaskan bahawa usaha ini sejajar dengan agenda reformasi kerajaan MADANI dalam memperkukuh perlindungan alam sekitar. Agensi itu komited meningkatkan kesedaran serta penguatkuasaan undang-undang bagi menggalakkan amalan pembangunan lestari dalam kalangan masyarakat dan industri.