KUALA LUMPUR – Menandakan lembaran baharu dalam industri muzik tempatan, Icon Records (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia telah melancarkan single terbaharu berjudul “Yang Tinggal” pada 18 September lalu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, gabungan ikon muzik antara Malique dengan Zizi Kirana, dan kemunculan semula Yasin Sulaiman.
Secara kronologinya, perjalanan naskhah ini bermula dengan sebuah sesi prapendengaran eksklusif tertutup di Qarma Studio sebelum dibawa ke pengetahuan umum. “Yang Tinggal”, hasil ciptaan bersama Malique dan Tripdisz, merupakan sebuah karya berat yang mengangkat tema kemanusiaan; menyusuri persoalan mengenai kehilangan, pengorbanan akibat peperangan, serta sisa harapan yang masih tinggal di sebalik kemusnahan.
Kekuatan naratif ini turut diperkaya dengan alunan vokal latar koir Voices of Bilad al-Sham daripada kumpulan Cinta Salam Malaysia.
Namun, di sebalik komposisi muziknya, tersimpan kisah yang cukup peribadi dan mendalam.
Bahagian vokal Yasin Sulaiman sebenarnya telah dirakam ketika beliau masih menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta. Dalam suasana yang jauh berbeza daripada studio rakaman konvensional, suara Yasin berjaya dilengkapkan dan menjadi elemen terpenting dalam naskhah ini.
Kini, selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan, kehadiran Yasin di sidang media tersebut menjadi detik rasmi kemunculan semulanya berhadapan dengan pihak media dan masyarakat, seakan melengkapkan putaran perjalanan lagu “Yang Tinggal”.
Menurut kenyataan rasmi pihak penganjur, Pengarah Icon Records, Iman Tang, melihat kolaborasi ini bukan usaha untuk mengubah identiti muzik Yasin, sebaliknya sebagai satu platform untuk beliau kembali berkarya mengikut keselesaan dan pengalaman seninya.
Pihak Icon Records merancang fasa kerjaya Yasin secara berperingkat, yang merangkumi kerjasama jangka panjang seperti penulisan, kolaborasi, dan penerbitan karya baharu. Bagi Yasin sendiri, naskhah “Yang Tinggal” bukan sekadar lagu mengenai perkara yang telah hilang, tetapi ia adalah manifestasi tentang harapan, peluang kedua, dan karya seni yang akan terus dihidupkan untuk masa hadapan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































