PUTRAJAYA, 28 Julai 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel sama sekali tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia. Pendirian ini selaras dengan dasar rasmi Kerajaan Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan, di samping menyokong pendirian Kerajaan MADANI dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, KDN menyatakan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus menguatkuasakan peruntukan undang-undang kawalan sempadan berasaskan Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pasport 1966. Kementerian itu mengulangi komitmen untuk melaksanakan pemeriksaan imigresen serta penilaian keselamatan secara profesional, tegas, dan tanpa kompromi.
“KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia akan terus menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing ke Malaysia berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966, serta penilaian keselamatan oleh agensi-agensi berkaitan,” menurut kenyataan tersebut.
Bagi memastikan keselamatan nasional terjamin, KDN mengesahkan bahawa setiap permohonan kemasukan warga asing perlu melalui tapisan keselamatan yang ketat. Mana-mana individu yang dikenal pasti berpotensi mengancam ketenteraman awam atau tergolong dalam kategori imigran yang dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 akan dilarang daripada memasuki negara ini.
Operasi kawalan pintu masuk negara turut dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). KDN akan terus memperkukuh kawalan sempadan menerusi penggunaan teknologi moden, perkongsian risikan, dan pemprofilan risiko yang berintegrasi demi memelihara kedaulatan serta kesejahteraan rakyat.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































