KOTA KINABALU, 30 Julai 2026 – Projek penyelidikan bernilai RM76,000 bagi membangunkan sistem pencahayaan tanpa bateri yang menggunakan tenaga haba akan dilaksanakan di Sabah menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP).
Projek tersebut melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Seni Gemilang Sdn. Bhd. bertujuan memajukan penyelidikan dalam bidang tenaga mampan di samping membangunkan modul pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk sekolah-sekolah di Sabah.
ICP merupakan satu inisiatif Kerajaan yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi memanfaatkan projek perolehan kerajaan terpilih untuk menggalakkan penerapan teknologi, kerjasama penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat. Program ini dipantau oleh Technology Depository Agency Bhd (TDA).
Penyelidikan tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan ICP bagi Projek Penghantaran Pencawang Masuk Utama (PMU) Karamunsing 132/11kV yang dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Di bawah inisiatif itu, Seni Gemilang Sdn. Bhd., selaku Penyelia ICP, bekerjasama dengan UMS bagi melaksanakan projek bertajuk Investigation of Sustainable Free Battery Self Power Lighting System Module Powered from Thermal Energy for Sabah STEM Education Module Kit (Kajian Sistem Modul Pencahayaan Lestari Boleh Nyala Sendiri Tanpa Bateri Menggunakan Tenaga Haba untuk Kit Modul Pendidikan STEM Sabah).
Pengerusi TDA, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata ICP mewujudkan nilai jangka panjang yang melangkaui perolehan kerajaan melalui pembangunan keupayaan serta penerapan teknologi.
“Program Kolaborasi Industri memastikan setiap perolehan strategik kerajaan memberikan nilai mampan kepada negara. Dengan menggalakkan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik, ICP mempercepat pemindahan teknologi, memperkukuh keupayaan penyelidikan serta melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu teknologi,” katanya.
Projek itu memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pencahayaan tanpa bateri yang menggunakan tenaga haba sebagai sumber alternatif untuk penjanaan elektrik.
Selain menghasilkan prototaip teknologi berkenaan, inisiatif itu turut memperkenalkan modul pembelajaran STEM untuk sekolah-sekolah di seluruh Sabah. Modul tersebut direka untuk meningkatkan minat pelajar terhadap STEM menerusi aktiviti pembelajaran praktikal dan aplikasi teknologi dalam bidang tenaga mampan.
Inisiatif berkenaan dijangka menyumbang kepada ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi negara, di samping memperkukuh kerjasama yang lebih erat antara sektor awam, industri dan institusi pengajian tinggi dalam memajukan penyelesaian tenaga yang mampan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































