KUALA LUMPUR, 31 Julai 2026 – Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Tourism Malaysia merakamkan penghargaan atas sambutan menggalakkan daripada orang ramai sepanjang penganjuran semula program kebudayaan kebangsaan, Citrawarna 2026, yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Acara yang kembali dianjurkan selepas enam tahun itu menghimpunkan lebih 3,500 penari dan penggiat seni dari seluruh negara dengan pelbagai pengisian seperti Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni sepanjang tiga hari penganjuran.
Tourism Malaysia turut menyampaikan penghargaan kepada ribuan tenaga kerja merangkumi penari, kru produksi, sukarelawan, pasukan keselamatan dan pengurusan pentas atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam menjayakan program berkenaan.
Dalam pada itu, pihak penganjur mengambil maklum pelbagai pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh pengunjung bagi tujuan penambahbaikan penganjuran pada masa hadapan.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuklah penambahbaikan susun atur dan garis penglihatan penonton, ketepatan atur cara program, serta penggunaan teknologi dan kandungan kreatif dalam persembahan.
Selain itu, terdapat juga cadangan daripada orang ramai supaya penglibatan komposer, pemuzik dan penggiat kreatif tempatan diperluaskan lagi dalam penghasilan kandungan persembahan akan datang.
Tourism Malaysia menegaskan bahawa setiap perkara yang dibangkitkan akan disemak dan diambil tindakan susulan yang sewajarnya demi memastikan kualiti penganjuran program memartabatkan warisan budaya kebangsaan dapat dipertingkatkan secara berterusan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































