KUALA LUMPUR, 31 Julai 2026 – Syarikat penerbangan TransNusa bakal mencatatkan sejarah baharu apabila memperkenalkan penerbangan terus harian yang menghubungkan Bandar Lampung, Sumatera, dengan Kuala Lumpur bermula 24 Ogos depan bagi memperkasakan hubungan pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Perkhidmatan laluan antarabangsa baharu itu akan beroperasi dari Lapangan Terbang Radin Inten II ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi model perjalanan terus dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis, berkata syarikat penerbangan berkenaan komited untuk membangunkan laluan penerbangan baharu secara langsung bagi mengelakkan hab utama yang sesak.
“Dengan menghubungkan Bandar Lampung terus ke Kuala Lumpur, kami memperkenalkan model rangkaian penerbangan terus dari satu destinasi ke satu destinasi (point-to-point) yang mengelakkan hab utama yang sesak, sekali gus mengurangkan masa perjalanan sehingga separuh serta menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, lancar dan selesa kepada para penumpang,” kata beliau lagi.
Penerbangan harian 8B 661 dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Radin Inten II pada jam 11.40 pagi dan tiba di KLIA pada jam 2.25 petang, manakala penerbangan pulang 8B 662 berlepas dari KLIA pada jam 3.00 petang dan mendarat di Bandar Lampung pada jam 3.45 petang.
Laluan baharu ini membuka akses terus kepada pelancong antarabangsa untuk melawat pelbagai destinasi tarikan di Wilayah Lampung seperti Taman Negara Way Kambas, Kompleks Gunung Berapi Krakatau dan Teluk Kiluan, selain menyokong sektor perdagangan utama kawasan tersebut merangkumi pengeluaran kopi dan lada hitam.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































