LONDON, 4 Ogos 2026 – Jawatankuasa Khas Menteri Belia Komanwel meluluskan rangka kerja baharu bagi memimpin pelaksanaan Program Belia Komanwel untuk tempoh tiga tahun akan datang menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas yang berlangsung di ibu pejabat Sekretariat Komanwel di sini dan secara dalam talian.
Rangka kerja berkenaan adalah sejajar dengan Pelan Strategik Sekretariat Komanwel 2025–2030 yang meletakkan golongan muda sebagai rakan strategik dan pemimpin dalam membina ketahanan demokratik, ekonomi dan persekitaran. Langkah ini turut memberi tumpuan khusus kepada penyediaan peluang kepimpinan, kemahiran, keusahawanan dan inklusiviti digital bagi belia di negara anggota.
Setiausaha Agung Komanwel, Shirley Botchwey, berkata sokongan padu terhadap rangka kerja itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama Komanwel dalam pembangunan belia.
“Sumbangan dan cadangan yang diterima berhubung pelaksanaan, pembiayaan, bantuan teknikal serta sokongan bagi Negara Kecil dan Negara Membangun Pulau Kecil telah banyak mempersiapkan rangka kerja ini, sekali gus memastikan Program Belia Komanwel kekal praktikal serta responsif terhadap keperluan golongan muda,” kata beliau lagi.
Pengerusi Bersama Pasukan Tugasan merangkap Pengerusi Program Belia Perdana Menteri Pakistan, Rana Mashhood Ahmad Khan, berkata perbincangan tersebut memberikan panduan strategik bernilai tinggi bagi Kerangka Strategik Program Belia Komanwel (2026–2030).
“Perbincangan ini mengesahkan semula komitmen kolektif kita untuk memperkukuh pembangunan belia di seluruh wilayah Komanwel,” kata beliau.
Menteri Kementerian Hal Ehwal Keluarga dan Sosial Samoa merangkap Pengerusi Bersama, Moefaauouo Julius Ah Kui Tafunai, menegaskan pentingnya mewujudkan program yang mempunyai keutamaan bersama dan menganjurkan rasa bertanggungjawab semua pihak.
“Samoa kekal komited untuk bekerjasama dengan Komanwel dan semua negara anggota bagi meluaskan peluang bermakna untuk golongan belia,” kata beliau lagi.
Selain meluluskan model pelaburan bersama dan pelan pemantauan baharu, mesyuarat berkenaan turut menerima maklum balas berhubung penganjuran Forum Belia Komanwel yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 November 2026 di St. John’s, Antigua dan Barbuda, sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2026.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































