NEW YORK, 4 Ogos 2026 – Pertubuhan bukan kerajaan yang mengkhususkan perkhidmatan penjagaan mata global, Orbis International, hari ini menjalin kerjasama strategik bersama Kumpulan AirAsia bagi memperluas akses perkhidmatan dan kemudahan penjagaan mata di rantau Asia Pasifik.
Menerusi kerjasama berkenaan, Kumpulan AirAsia akan menyediakan sokongan tambang penerbangan bernilai AS$100,000 (kira-kira RM440,000) setahun bagi tempoh lima tahun akan datang. Bantuan ini bertujuan membolehkan pakar Orbis bekerjasama secara terus dengan hospital tempatan, kementerian kesihatan dan institusi latihan di beberapa negara termasuk Bangladesh, China, India, dan Vietnam.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Orbis International, Kathleen Sherwin, berkata sokongan syarikat penerbangan itu amat bermakna dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kesihatan mata dan memperkasakan sistem perkhidmatan kesihatan setempat.
“Melalui usaha sama ini, kita dapat memperkukuh keupayaan tempatan, memudahkan akses buat pasukan penjagaan mata dengan latihan dan teknologi, dan menyokong sistem yang lebih mampan supaya dapat terus memberikan khidmat kepada komuniti untuk jangka masa panjang walaupun sesuatu projek itu sudah berakhir,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam, berkata syarikat penerbangan AirAsia tidak hanya menyediakan jaringan pengangkutan di antara dua destinasi, tetapi turut berasa bangga dapat menyokong Orbis menyediakan perkhidmatan yang bermakna seumpama ini.
“Dengan menggabungkan jangkauan rangkaian penerbangan kami dan kepakaran Orbis, kami dapat membantu membawa perkhidmatan penjagaan mata, latihan dan teknologi supaya lebih dekat kepada komuniti yang sangat memerlukan,” kata beliau.
Program perkongsian ini turut menyokong inisiatif Orbis termasuk hospital pengajaran oftalmologi terapung, Flying Eye Hospital, serta platform teleperubatan dan pembelajaran dalam talian, Cybersight, dalam usaha menangani isu kekurangan tenaga kerja dan jurang akses perkhidmatan kesihatan di rantau berkenaan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































