KUALA LUMPUR, 20 Januari 2026 – AirAsia X Berhad (AirAsia X) hari ini mengumumkan pelantikan Bo Lingam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan di bawah struktur pengurusan baharu syarikat, susulan selesainya pengambilalihan entiti penerbangan daripada Capital A Berhad.
Lembaga Pengarah AirAsia X meluluskan struktur baharu tersebut bagi memperkukuh tadbir urus dan memacu fasa pertumbuhan strategik syarikat yang kini menggabungkan operasi jarak dekat dan jauh di bawah satu bumbung.
Dalam rombakan tersebut, Farouk Kamal dilantik sebagai Timbalan CEO Kumpulan yang bertanggungjawab menyelia fungsi korporat dan operasi, manakala Low Kar Chuan dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO).
Sementara itu, Benyamin Ismail kini memegang jawatan sebagai Pengurus Besar dan akan terus bertindak sebagai pengurus bertanggungjawab (accountable manager) dalam mengendalikan operasi harian AirAsia X sebagai syarikat pengendali penerbangan.
Pengerusi AirAsia X, Dato’ Fam Lee Ee berkata, struktur pengurusan baharu ini mencerminkan komitmen Lembaga Pengarah untuk memperkukuh kepimpinan syarikat.
“Dengan kepimpinan Bo yang terbukti dan pemahaman mendalam mengenai perniagaan ini, kami yakin AirAsia X berada di tangan yang baik. Setiap pelantikan membawa pengalaman dan keupayaan relevan yang akan menyokong transformasi syarikat,” katanya.
Mengulas mengenai pelantikan itu, Bo Lingam berkata penyatuan keupayaan jarak dekat dan jauh membolehkan kumpulan itu memacu kecekapan yang lebih tinggi.
“Fokus kami kekal pada kecemerlangan operasi dan mencipta nilai mampan untuk semua pihak berkepentingan dalam fasa pertumbuhan seterusnya,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, AirAsia X turut mengumumkan penyenaraian 606 juta Saham Penempatan dan 2.3 bilion Saham Pertimbangan, menandakan selesainya Cadangan Penempatan Persendirian syarikat.
Syarikat itu juga sedang meneliti kemungkinan menukar nama bagi mencerminkan penyatuan perniagaan penerbangan kumpulan tersebut, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































