KUALA LUMPUR, 21 Januari 2026 – Memanfaatkan momentum selepas penyertaannya dalam program realiti popular Gegar Vaganza 2026 baru-baru ini, penyanyi Nubhan kini tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Andai Derita.
Single yang dilancarkan pada 16 Januari lalu itu menjadi naskhah pengubat rindu peminat selepas beberapa tahun beliau sepi tanpa rakaman lagu solo baharu.
Diterbitkan di bawah edaran Luncai Emas, Andai Derita membawa naratif berat mengenai kesetiaan seorang lelaki yang dikhianati. Namun, berbeza dengan lagu putus cinta biasa yang selalunya penuh amarah, lagu ini memilih jalan cerita mengenai keredaan, bertahan dalam diam, dan melepaskan dengan ikhlas.
Nubhan, atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad, menyifatkan lagu ini sebagai teman bagi mereka yang sedang memujuk hati.
“Setiap manusia pasti pernah singgah di persimpangan derita. Lagu ini saya hadirkan sebagai teman untuk mereka yang memujuk hati dalam diam.
“Ada masanya, derita itu tidak perlu dilawan, cukup sekadar diterima dengan reda,” katanya mengulas mengenai mesej mendalam lagu tersebut.
Bekas finalis Akademi Fantasia musim ke-6 yang juga usahawan dan pencipta kandungan media sosial ini berharap karya tersebut dapat diterima baik oleh peminat muzik tanah air.
Lirik yang menyentuh hati seperti “Demi bahagiamu, biar ku pergi sayang” dijangka mampu memeluk emosi pendengar yang pernah terluka namun memilih untuk tidak menuntut penjelasan.
Kerjasama dengan Luncai Emas dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan perjalanan seni Nubhan terus konsisten dalam industri muzik tempatan.
Peminat kini boleh mendengarkan Andai Derita di semua platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music, manakala video muzik rasmi bakal menemui penonton di saluran YouTube Luncai Emas tidak lama lagi.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































