KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2026 — Malaysia bersiap-sedia menghadapi Persidangan Negara Ahli Ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP31) melalui satu pendekatan melibatkan kerajaan, industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta.
Persiapan itu diperkukuh dengan pelancaran awal Pavilion Malaysia sempena Road to Antalya: Climate Change Forum (CCF) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sebagai antara langkah utama persediaan Malaysia ke COP31 yang akan berlangsung di Antalya, Türkiye, dari 9 hingga 20 November 2026.
Bertemakan “Climate Action Now: Driving Resilient Growth” (Tindakan Iklim Sekarang: Memacu Pertumbuhan Mampan), Pavilion Malaysia akan mengetengahkan tindakan iklim, inisiatif kelestarian dan penyelesaian berkaitan iklim yang dilaksanakan negara sepanjang persidangan itu.
Pavilion berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama dan menggalakkan dialog mengenai langkah praktikal ke arah pertumbuhan yang berdaya tahan dan mampan.
Pavilion Malaysia diterajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta dilaksanakan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), dengan sokongan sumbangan dan kerjasama sektor swasta serta penyertaan agensi kerajaan, syarikat, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan strategik lain.
Menurut NRES, penyertaan pelbagai pihak itu mencerminkan pendekatan seluruh negara dalam memajukan agenda iklim Malaysia serta menunjukkan persiapan ke Antalya telah dimulakan.
CCF 2026 turut menghimpunkan wakil kerajaan, industri dan rakan antarabangsa bagi membincangkan aspirasi iklim Malaysia serta keutamaan negara menjelang COP31.
Antara pengisian utama ialah sesi panel bertajuk “Malaysia’s Climate Ambition and the Road to COP31” yang menampilkan wakil NRES, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kedutaan Republik Türkiye dan Republik Persekutuan Brazil.
Perbincangan itu menyentuh aspirasi iklim Malaysia, peralihan daripada komitmen kepada pelaksanaan, kerjasama kerajaan dan industri, peralihan tenaga sebagai peluang ekonomi serta peranan Malaysia dalam agenda iklim global.
Panel berkenaan turut membincangkan tindakan dan kerjasama konkrit yang boleh diketengahkan Malaysia di COP31.
CCF 2026 turut mengenal pasti tujuh kluster tematik yang akan menjadi panduan kepada program dan keutamaan Pavilion Malaysia sepanjang COP31.
Kluster berkenaan menghimpunkan kementerian dan rakan strategik dalam bidang utama berkaitan agenda iklim serta pembangunan mampan Malaysia, selain menyokong penglibatan negara di Antalya dan mengetengahkan inisiatif serta peluang kerjasama di peringkat nasional.
Di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, NRES berkata pelancaran awal Pavilion Malaysia dan pelaksanaan CCF 2026 menjadi sebahagian daripada persiapan Malaysia untuk menghubungkan usaha di peringkat nasional dengan penyertaan negara di pentas global.
Menjelang COP31, Pavilion Malaysia akan menjadi wadah untuk mengetengahkan kemajuan negara, memperkukuh kerjasama antarabangsa dan menggalakkan perbincangan berhubung tindakan iklim serta pertumbuhan berdaya tahan.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































