KUALA LUMPUR, 22 Julai 2026 – Pasport Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di arena antarabangsa apabila berada di tangga ke-7 dunia dalam edisi ulang tahun ke-20 Indeks Pasport Henley yang dikeluarkan semalam.
Pencapaian ini memberikan pemegang pasport Malaysia akses bebas visa atau visa ketibaan ke 183 destinasi di seluruh dunia, sekali gus meletakkan negara setaraf dengan kuasa besar global seperti Australia, Kanada dan New Zealand.
Prestasi cemerlang ini menyerlahkan kedudukan Malaysia sebagai antara sebilangan kecil negara membangun yang berjaya menembusi kelompok teratas dalam aspek kebebasan pergerakan antarabangsa.
Indeks Pasport Henley turut melaporkan bahawa purata kebebasan mobiliti global telah meningkat hampir dua kali ganda sepanjang dua dekad lalu, daripada 58 destinasi pada tahun 2006 kepada 108 destinasi pada tahun 2026.
Laporan analisis bersama Indeks Kedamaian Global (GPI) mendedahkan bahawa kekuatan pasport Malaysia dipacu oleh kestabilan politik domestik serta keupayaan diplomasi negara yang kukuh.
Di sebalik kemerosotan tahap kedamaian dunia ekoran konflik antarabangsa yang meningkat, Malaysia diiktiraf bersama-sama negara seperti Australia, New Zealand, Kanada, dan Denmark sebagai negara yang berjaya mengekalkan keharmonian dalam negeri sambil membina hubungan diplomatik yang berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Henley & Partners merangkap pelopor Indeks Pasport Henley, Dr. Christian H. Kaelin, berkata kekuatan pasport merupakan antara manifestasi paling jelas terhadap modal geopolitik sesebuah negara.
Beliau menjelaskan bahawa pasport terkuat di dunia dimiliki oleh negara-negara yang ingin dijadikan rakan kongsi oleh negara lain dalam bidang perdagangan, pelaburan, keselamatan, dan kerjasama antarabangsa.
“Kuasa pasport merupakan antara manifestasi paling jelas terhadap modal geopolitik sesebuah negara,” kata beliau.
“Pasport terkuat di dunia dimiliki oleh negara-negara yang mahu dijadikan rakan kongsi oleh negara lain; sama ada untuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, mahupun kerjasama. Mobiliti pada akhirnya merupakan ukuran nilai yang diletakkan oleh negara lain terhadap hubungan mereka dengan anda,” kata beliau lagi.
Perkembangan indeks terkini turut memperlihatkan pergeseran geopolitik daripada kuasa Barat tradisional ke arah rantau Asia dan Timur Tengah.
Singapura kini memegang takhta pasport paling berkuasa di dunia dengan akses ke 192 destinasi, manakala Jepun, Korea Selatan, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkongsi kedudukan ke-2 dengan 188 destinasi. Sebaliknya, pasport Amerika Syarikat kini berada di tangga ke-10 dunia.
Bagi rakyat Malaysia, kedudukan tinggi ini memberikan kelebihan praktikal dalam kehidupan seharian termasuk mempermudah urusan perjalanan perniagaan, pelancongan, dan pendidikan di luar negara.
Kemudahan kemasukan tanpa visa ini secara tidak langsung mengurangkan kos pentadbiran, bayaran pemprosesan visa, serta masa menunggu di kedutaan, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab global yang selamat dan terhubung secara luas.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































