KUALA LUMPUR, 27 Julai 2026 – Formula Satu (F1) akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober depan bagi menggantikan Grand Prix Bahrain yang dibatalkan ekoran konflik bersenjata di rantau Timur Tengah.
Penganjuran edisi kali ini yang dinamakan secara rasmi sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia itu dimaklumkan oleh pihak F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Perlumbaan di Malaysia ini dijadualkan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Singapore, tertakluk kepada persetujuan akhir serta kelulusan Majlis Sukan Bermotor Dunia. Inisiatif pemindahan lokasi ini membolehkan F1 mengekalkan jadual 23 perlumbaan bagi musim 2026, sekali gus mengelakkan implikasi kewangan dan syarat pemulangan hak penyiaran sekiranya jumlah perlumbaan berkurangan.
Keputusan perancangan ini dicapai hasil kerjasama diplomatik peringkat tinggi yang melibatkan Putera Mahkota Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa; Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali; serta Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem.
Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali, berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang menakjubkan dan Litar Sepang mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam sejarah sukan berkenaan.
“Sekali lagi, F1 telah membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, mencari penyelesaian, dan memberikan hasil,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain serta bersedia untuk menampilkan infrastruktur dan memberikan perkhidmatan bertaraf dunia sepanjang penganjuran perlumbaan tersebut. Kepulangan F1 ke Litar Sepang ini merupakan kali pertama sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017. Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket bagi acara Oktober berkenaan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































