TANJONG MALIM, 21 Julai 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal dan Penulis Buku UPSI 2026 sebagai usaha memperkukuh budaya penerbitan ilmiah serta meningkatkan reputasi universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis yang berlangsung di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI itu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron.
Sewaktu menyampaikan ucapan perasmian, Mohd Khair menyifatkan penerbitan ilmiah sebagai nadi perkembangan ilmu yang menjadi kayu ukur utama kecemerlangan universiti, selain menegaskan potensi Malaysia untuk muncul sebagai pengeluar ilmu di peringkat serantau.

“Majlis seperti ini bukan sekadar sebuah majlis penyampaian penghargaan. Ia sebenarnya merupakan satu pengiktirafan kepada manusia-manusia yang memilih untuk bekerja dalam diam. Mereka mungkin tidak sentiasa berada di hadapan pentas. Namun merekalah yang membina pentas ilmu untuk generasi selepas kita,” kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI, Prof. Madya Dr. Lena Farida Hussain Chin, menekankan peranan kritikal sidang editor sebagai pengawal kualiti akademik dalam memastikan setiap hasil penerbitan universiti memenuhi piawaian global.

“Berkat usaha gigih sidang editor, jurnal-jurnal universiti terus melangkah megah, malah ada yang telah berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti MyCITE, Scopus dan Web of Science (WoS). Warga akademik UPSI telah membuktikan bahawa budaya ‘Publish or Perish’ bukan sekadar slogan, tetapi satu pembudayaan hidup di universiti ini,” kata beliau.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan bagi kategori Sidang Editor Jurnal dan Penulis Buku Terbaik, merangkumi Anugerah Ketua Editor Cemerlang, Anugerah Jurnal Berimpak, Anugerah Karya Asli Terbaik, serta Anugerah Khas Pejabat Karang Mengarang (PKM).

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































