PUTRAJAYA, 12 Ogos 2026 – Syarikat pelaburan yang disokong kerajaan, VentureTECH Sdn. Bhd. (VentureTECH), hari ini mengumumkan pelaburan strategik bernilai RM28 juta kepada tiga syarikat berimpak tinggi milik Bumiputera bagi memacu automasi industri, inklusiviti digital dan inovasi perkhidmatan kesihatan negara.
Pengumuman itu dilakukan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pelaburan di Hotel Pulse Grande di sini hari ini disalurkan kepada Move Robotic Sdn. Bhd., Recove Group Sdn. Bhd., dan Edote Sdn. Bhd. bagi memperkasakan keupayaan teknologi serta daya saing ekonomi jangka panjang Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Azizan Jaafar, berkata pelaburan berkenaan memberi fokus kepada syarikat berpotensi tinggi yang berupaya menyelesaikan cabaran dunia sebenar menerusi inovasi teknologi.
“Di VentureTECH, kami melabur dalam syarikat yang mempunyai teknologi inovatif untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar, mengukuhkan industri strategik dan berpotensi berkembang secara mampan. Move Robotic, Recove dan Edote mencerminkan contoh syarikat Bumiputera yang ingin kami sokong, iaitu syarikat yang menggabungkan inovasi dengan potensi komersial yang kukuh di samping memberikan impak sosioekonomi yang bermakna,” kata beliau.
“Peranan kami bukan sekadar menyediakan modal. Kami bekerjasama dengan syarikat pelaburan sepanjang perjalanan pertumbuhan mereka bagi membantu mengukuhkan keupayaan, membuka peluang pasaran baharu dan berkembang secara mampan. Menerusi pelaburan ini, kami bukan sahaja menyokong perniagaan yang berpotensi tetapi turut menyumbang kepada ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia serta aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035,” kata beliau lagi.
Melalui pelaburan tersebut, Move Robotic Sdn. Bhd. bakal memperluaskan perkhidmatan ekosistem automasi gudang dan logistik dengan menggunakan penyelesaian langganan Robot-as-a-Service (RaaS) pertama di Malaysia yang menggabungkan Robot Mudah Alih Automatik (AMR) dan perisian pengurusan logistik.
Manakala Recove Group Sdn. Bhd. menggunakan pembiayaan ini bagi mempercepat pengkomersialan teknologi perubatan berasaskan penyelidikan saintifik, termasuk peranti saringan demam kuning bayi NEORUBIN® ke hospital dan pusat kesihatan.
Selain itu, Edote Sdn. Bhd. mempertingkatkan kapasiti pengeluaran eBrelle, iaitu komputer riba Braille tunggal pertama di Malaysia dan Asia Tenggara bagi membantu komuniti kurang upaya penglihatan mengakses kandungan digital secara berdikari. Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Pengerusi VentureTECH, Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim, dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Ts. Rushdi Abdul Rahim.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































