KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 – Batik Air bakal melakar sejarah baharu apabila melancarkan laluan antarabangsa pertama dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang ke Bangkok, Thailand bermula 28 Julai ini.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK), Bangkok itu akan beroperasi setiap hari, sejajar usaha memperkasa LTSAAS sebagai hab bandar utama negara.
Pada tarikh yang sama, Batik Air turut memperkenalkan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) bagi memperkukuh jaringan domestik dari LTSAAS.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy berkata langkah tersebut mencerminkan komitmen Batik Air dalam memperluaskan capaian penerbangan serantau dari lokasi strategik yang lebih hampir kepada penduduk Lembah Klang.
“Bangkok hanyalah permulaan. Subang menawarkan alternatif yang lebih menjimatkan masa berbanding KLIA dan kami percaya ia akan memainkan peranan penting dalam landskap penerbangan negara,” katanya.
Tambah beliau, pelancaran laluan ini dijangka membuka peluang lebih luas kepada pelancong dari Thailand dan Malaysia Timur untuk meneroka destinasi pelancongan di Lembah Klang, termasuk Selangor dan Kuala Lumpur yang terkenal dengan warisan diraja, ekopelancongan, taman tema dan kulinari tempatan.
Setakat ini, Batik Air telah mengendalikan penerbangan dari LTSAAS ke Pulau Pinang, Kota Bharu dan Kota Kinabalu, menjadikan jumlah destinasi meningkat kepada lima apabila laluan Bangkok dan Kuching dimulakan.
LTSAAS dijangka memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penduduk Lembah Klang yang berada dalam lingkungan mudah akses ke lapangan terbang itu, berbanding jarak yang lebih jauh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengakses aplikasi mudah alih Batik Air atau layari laman web rasmi di www.batikair.com .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































