KUALA LUMPUR, 14 Mac 2025 – Batik Air hari ini mengesahkan komitmennya dalam menyokong usaha kerajaan untuk menambah baik Lapangan Terbang Subang dengan menambah kekerapan penerbangan dan memperkenalkan laluan baharu dalam beberapa bulan akan datang.
Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebagai hab serantau utama bagi penerbangan perniagaan dan pelancongan.
Pada Ogos 2024, LTSAAS mencatatkan peningkatan 25% dalam trafik penumpang antarabangsa, dengan jumlah keseluruhan 105,000 penumpang, menandakan pemulihan industri penerbangan kepada 96.1% daripada tahap pra-pandemik.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata LTSAAS memiliki potensi besar sebagai lapangan terbang bandar moden, dan syarikat penerbangan itu bersedia memainkan peranan utama dalam kejayaan transformasi ini.
“Pelan memperluaskan kehadiran Batik Air akan memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau. Kami menggesa pihak berkuasa penerbangan seperti Kementerian Pengangkutan (MOT), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mempercepatkan peruntukan slot penerbangan tambahan di LTSAAS bagi memastikan peningkatan perkhidmatan dan sambungan penerbangan yang lebih baik,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya, Batik Air komited untuk memperkukuh ekosistem penerbangan Malaysia dengan bekerjasama rapat bersama kerajaan, MAHB, dan rakan industri bagi memaksimumkan potensi LTSAAS.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.