KUALA LUMPUR, 16 Mac 2025 – Batik Air melaksanakan dasar baharu penggunaan bank kuasa (power bank) berkuat kuasa serta-merta mulai 14 Mac 2025, sebagai langkah meningkatkan keselamatan di dalam pesawat.
Di bawah peraturan baharu ini, penumpang hanya dibenarkan membawa maksimum dua (2) unit bank kuasa, yang mesti sentiasa dibawa bersama di sisi dan tidak boleh disimpan dalam bagasi kabin atau daftar masuk.
Selain itu, penggunaan bank kuasa di dalam kabin pesawat adalah dilarang sama sekali, dengan Batik Air turut mengingatkan penumpang mengenai bank kuasa berteknologi auto-magnetic charging, (pengecasan magnet automatik) yang dianggap berisiko tinggi terhadap operasi penerbangan.
Dasar ini sejajar dengan Peraturan Barangan Berbahaya yang digariskan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mengehadkan kapasiti bank kuasa kepada 100 watt-jam (Wh) atau 20,000 milliampere-jam (mAh) bagi setiap unit.
Sebagai langkah penguatkuasaan, Batik Air akan memaparkan peringatan keselamatan di kaunter daftar masuk, mengumumkan peraturan ini dalam panggilan menaiki pesawat, serta menyertakan maklumat dalam taklimat keselamatan penerbangan.
Kakitangan daftar masuk juga akan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap had yang ditetapkan.
Batik Air mengambil langkah ini berikutan kebimbangan global terhadap risiko bateri lithium-ion. Kejadian 28 Januari 2025 yang melibatkan sebuah penerbangan Air Busan ke Hong Kong, yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas kebakaran berpunca daripada bank kuasa dalam ruang simpanan kabin, telah meningkatkan kesedaran industri mengenai bahaya peranti ini. Insiden tersebut mencederakan tujuh penumpang dan menyebabkan 169 orang terpaksa dipindahkan.
Sebagai respons terhadap kejadian ini, Korea Selatan telah mengetatkan peraturan penerbangan pada 1 Mac 2025, termasuk menetapkan bahawa bank kuasa mesti dibawa bersama penumpang dan tidak boleh disimpan dalam ruang penyimpanan atas. Langkah ini turut diadaptasi oleh Batik Air sebagai sebahagian daripada dasar baharunya.
Penumpang digalakkan untuk menyemak garis panduan terkini mengenai dasar ini sebelum menaiki penerbangan Batik Air. Maklumat lanjut boleh didapati di batikair.com.my/experience/baggage .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































