KUALA LUMPUR, 17 April 2025 – Airbnb kembali menganjurkan acara tahunan Rumah Terbuka Riangnya Raya, dan kali ini, ia lebih istimewa dengan kemeriahan beraya bersama kumpulan wanita popular tempatan, DOLLA, sebagai hos bersama.
Acara ini menawarkan satu pengalaman Raya yang berbeza – percutian hujung minggu di lokasi tanah tinggi Bukit Tinggi yang indah, hanya sejam pemanduan dari Kuala Lumpur. Seorang tetamu bertuah bersama sembilan rakan akan dipilih untuk menikmati penginapan selama dua malam di Brickhouse Bukit Tinggi, dari 3 hingga 5 Mei 2025, dengan harga RM100 (tidak termasuk cukai dan caj tambahan).

DOLLA, yang dikenali dengan persembahan bertenaga dan personaliti yang ceria, akan menyambut tetamu secara peribadi, menjamu mereka dengan hidangan perayaan, serta menghiburkan dengan persembahan akustik eksklusif yang menampilkan lagu-lagu popular mereka.
“Raya adalah waktu yang sangat bermakna – penuh dengan kasih sayang, tradisi dan hubungan sesama manusia,” kata DOLLA dalam satu kenyataan. “Kami teruja dapat bekerjasama dengan Airbnb untuk berkongsi semangat Raya bersama peminat dalam suasana yang lebih peribadi dan ikhlas.”
Ketua Negara Airbnb untuk India dan Asia Tenggara, Amanpreet Bajaj turut berkata, “Raya adalah masa untuk merapatkan semula hubungan dalam suasana yang selesa. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan DOLLA untuk menjadikan sambutan ini satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, seiring dengan semangat sambutan perayaan di Malaysia.”
Aktiviti utama yang ditawarkan termasuk:
- Sambutan peribadi oleh ahli kumpulan DOLLA
- Makan malam perayaan eksklusif bersama DOLLA
- Persembahan akustik istimewa
- Sesi soal jawab langsung bersama peminat
Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal, persembahan akustik dan sesi soal jawab akan disiarkan secara langsung melalui akaun TikTok rasmi @dollaofficial, membolehkan peminat seluruh negara turut serta dalam kemeriahan perayaan.
Tentang penginapan di Brickhouse Bukit Tinggi:
Tetamu akan menikmati penginapan peribadi dalam dua vila lengkap dengan kolam renang persendirian, ruang BBQ, kemudahan karaoke serta pemandangan indah gunung dan dusun durian sekeliling.
Permohonan tempahan akan dibuka pada jam 11 pagi, 25 April 2025 menerusi laman rasmi airbnb.com/RayawithDOLLA . Tempahan akan dipilih berdasarkan prinsip siapa cepat, dia dapat.
Tetamu bertanggungjawab menguruskan perjalanan pergi dan balik ke lokasi penginapan di Bentong, Pahang.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.