PUTRAJAYA, 16 April 2025 – Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan oleh pengurusan baharu, menurut kenyataan Kementerian Komunikasi hari ini.
Langkah ini diambil selepas operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur secara rasmi diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) bermula 1 April 2025. Kementerian turut menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur merupakan hak milik kerajaan.
Syarikat terdahulu, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB), telah diminta mengosongkan tapak selepas 31 Mac 2025. Dua notis pengosongan telah dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 3 dan 9 April 2025. Oleh itu, sebarang operasi atau urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB selepas tarikh tersebut dianggap tidak sah dan tanpa kelulusan kerajaan.
Kementerian Komunikasi menjelaskan bahawa penutupan sementara ini bertujuan untuk memastikan keselamatan serta keselesaan pengunjung, selain memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan oleh pengurusan baharu.
Tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan kemudian melalui pelbagai saluran media.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.