PUTRAJAYA, 27 Mac 2025 – Kerajaan mengambil langkah menstabilkan harga ikan tongkol sempena musim perayaan dengan memasukkannya ke dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), menurut pengumuman Jabatan Perikanan Malaysia hari ini.
Langkah ini diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan bekalan ikan mencukupi serta mengawal lonjakan harga, terutama menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan permintaan tinggi. Harga maksimum ikan tongkol bersaiz 1-2 ekor sekilogram telah ditetapkan bagi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Selain ikan tongkol, beberapa hasil laut lain turut dikawal harganya, antaranya ikan demudok, sagai, cermin dan cupak (3-5 ekor sekilogram) di Sabah, ikan kembung termasuk ikan mabung (8-12 ekor sekilogram) di seluruh negara, serta ikan selayang (8-12 ekor sekilogram) yang juga tertakluk kepada kawalan harga di seluruh negara.
Menurut Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan Hussain, pihaknya komited dalam memastikan kestabilan harga dan bekalan ikan, terutama pada musim perayaan.
“Peningkatan pendaratan tuna neritik, termasuk ikan tongkol, membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kelangsungan industri perikanan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Berdasarkan laporan Jabatan Perikanan Malaysia, jumlah pendaratan tuna neritik bagi tahun 2024 meningkat kepada 63,780.32 tan metrik dengan nilai lebih RM781.3 juta, berbanding 55,222.67 tan metrik pada tahun sebelumnya.
Perak muncul sebagai negeri pengeluar utama dengan jumlah pendaratan sebanyak 16,933.90 tan metrik bernilai RM207.4 juta, diikuti oleh Sabah dengan pendaratan 12,479.22 tan metrik bernilai RM152.9 juta.
Jabatan Perikanan Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memantau bekalan serta pendaratan ikan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara. Orang ramai disarankan untuk merancang pembelian dengan bijak dan menyokong inisiatif kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga barangan keperluan utama.