CYBERJAYA, 6 Mac 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 terhadap pelawak Harith Iskander dan individu bernama Cecelia Yap atas kesalahan memuat naik kandungan serta komen jelik berkaitan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu.
Menurut MCMC, tindakan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025. Pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberikan izin untuk kompaun tersebut dikenakan.
Meta, syarikat induk Facebook, telah menurunkan kandungan terbabit selepas mendapati ia melanggar garis panduan komuniti platform berkenaan. Selain itu, permohonan untuk menutup akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit sedang dalam penelitian pihak Meta.
Dalam perkembangan lain, MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung sebuah video yang mempersendakan agama Hindu, yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio ERA FM.
Ekoran kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro untuk memberi keterangan. Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta, dan rakaman percakapan pihak terlibat telah dibuat bagi membantu siasatan.
Selain itu, Notis Niat bagi Penggantungan Lesen telah diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio ERA FM. Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil oleh pihak berkuasa.